Saman pemula: ' Itu hak dia sebagai peguam'
KUALA LUMPUR - Pas tiada hak untuk menghalang bekas ketua peguam bela
kes liwat II, Gopal Sri Ram menjadi perunding kepada Gerakan bagi
membantu parti itu mencabar pelaksanaan hudud Kelantan di mahkamah.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, peguam Datuk Seri
Anwar Ibrahim itu boleh berkhidmat dengan sesiapa sahaja kerana ia
adalah hak pengamal undang-undang.
"Itu hak peguam, dia nak berkhidmat dengan siapa itu terpulang kepada
mereka, itu hak dia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari
ini.
Semalam, Gopal yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan menerima
tawaran menjadi perunding untuk Gerakan bagi membantu parti itu mencabar
pelaksanaan hudud Kelantan di mahkamah.
Rabu lalu, Gerakan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu
terhadap kerajaan Kelantan bagi mengisytiharkan rang undang-undang hudud
itu kerana tidak mengikut Perlembagaan.
Kes itu difailkan pada hari yang sama ketika Pas membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).
Sehari selepas ia dibentangkan, Dun Kelantan sebulat suara meluluskan
pindaan enakmen undang-undang syariah itu tanpa sebarang bantahan.
Mengulas lanjut, Mahfuz juga mendakwa sikap berdiam diri Umno terhadap
tindakan rakan komponen BN itu seolah-olah saman pemula untuk
membatalkan hudud itu direstui parti itu.
"Saya minta masyarakat desak para mufti dan ulama menyatakan pendirian
terhadap sikap Umno yang merestui tindakan Gerakan yang membuat saman
pemula itu terhadap Kerajaan Kelantan itu," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment