• Pas
 1 / 1 
ALOR SETAR - Tindakan DAP memulau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh ditafsir sebagai cubaan parti itu memberi tekanan kepada ahli Pas supaya tidak mencalonkan semula Abdul Hadi sebagai Presiden Pas pada muktamar akan datang, sebaliknya memilih calon yang lebih mesra dengan PR.
Namun, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kebarangkalian Abdul Hadi dipilih semula adalah sangat tinggi kerana ramai yang memberi sokongan kepadanya. 
“Jika Abdul Hadi kembali dipilih menyandang kerusi Presiden Pas, mungkin DAP akan cuba menarik balik perhatian dengan memberi keutamaan kepada matlamat PR.
"Bagi Pas pula, tumpuan utama akan diberikan kepada pendekatan kompromi untuk menyelesaikan semula konflik dengan PR.
“Apa pun, dalam politik pelbagai perkara yang tidak diramal boleh berlaku, mungkin akan ada usaha untuk patah balik atau bagaimana kita tunggu keputusannya kelak," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai masa depan antara ketigatiga parti dalam PR yang dilihat mengalami keretakan selepas pindaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 diluluskan oleh Dun Kelantan.
Beliau juga optimis PR tidak akan berpecah dalam masa terdekat sekurang-kurangnya sebelum pemilihan Pas pada Muktamar Tahunan ke-61 pada Jun depan.
Katanya, walaupun DAP melakukan pelbagai desakan terhadap Presiden Pas, namun kedua-dua parti pernah menegaskan tidak akan berpecah.
Menurutnya, bagi mengukuhkan lagi jangkaan itu, muncul golongan profesional dilihat cuba memainkan peranan untuk memulihkan krisis dalaman yang berlaku dalam pakatan.

“Apa yang kita nampak sekarang dalam isu hudud DAP iaitu Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng hanya tuju kepada Abdul Hadi sahaja. Mereka enggan bekerjasama dengan beliau tetapi itu mustahil kerana Abdul Hadi adalah Presiden Pas dan Pakatan masih memerlukan Pas.

“Sekiranya Pas pula cuba keluar dari Pakatan dan bergerak sendiri itu bukan sahaja akan melemahkan Pas.

"Berdasarkan kepada keputusan PRU13, Pas kalah banyak kerusi dan beberapa kerusi dimenangi di kawasan bandar. Itu menunjukkan penduduk bukan Melayu memberi undi mereka kepada Pas atas tiket PR.

“Golongan profesional bukan sahaja ada dalam Pas tetapi juga ada dalam DAP. Itu bukan jalan terbaik bagi Pas (bergerak sendiri) sekiranya mahu ke Putrajaya,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, isu hudud yang cuba diperjuangkan Pas juga turut dilihat sebagai satu permainan politik.

“Pas sendiri menyedari bukan satu perkara mudah untuk membentangkan hudud di Parlimen. Implikasi hudud selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan turut memerlukan sokongan undi dua pertiga majoriti untuk melakukan sebarang pindaan.

“Kerajaan Pusat (BN) juga masih berdiam diri berhubung pendirian mereka dalam isu ini kerana mereka menyedari jika bersetuju dengan hudud tentangan utama akan datang dari Sabah dan Sarawak yang sejak dari awal tidak boleh menerimanya,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun jika menyuarakan pandangan tidak setuju akan dijadikan modal untuk Pas terus menolak Umno.