• Muhammad Khalil Abdul HadiMuhammad Khalil Abdul Hadi
 1 / 1 
KUANTAN - Pemuda Pas Pusat berkata, DAP bukan halangan untuk Pas melaksanakan hudud, sebaliknya halangan utama parti Islam itu adalah Umno dan BN.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, persoalannya adakah Umno selaku Kerajaan Persekutuan bersedia melaksanakan hukum itu apabila ia diluluskan kerajaan Kelantan.

“Kita bimbang halangan daripada Umno kerana tidak luluskan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (hukum hudud) walaupun ia diluluskan 20 tahun lalu.

“Ini yang kita takut sebenarnya, jika dibandingkan desakan DAP yang tidak mahu hudud dilaksanakan itu di Kelantan biarpun ia hanya melibatkan orang Islam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kuantan di Tanjung Lumpur, semalam.

“DAP dan PKR harus hormati apa yang diperjuangkan Pas kerana dasar ini telah lama dimulakan. Malah kita sedaya-upaya menjaga kepentingan Islam walaupun perkara ini (hudud) sepatutnya dimulakan lebih awal oleh Umno.

“Jika Umno memperjuangkan Islam, saya percaya hudud telah lama diwujudkan, namun sehingga sekarang Umno tidak melaksanakan tanggungjawab itu sejak mengambil alih negara ini,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, bagaimanapun beliau yakin Pas menggunakan saluran demokrasi yang betul dan berharap perkara ini dapat dilaksanakan segera di Kelantan.

Dalam pada itu, katanya, sekiranya hudud berjaya dilaksanakan di Kelantan, beliau tidak menolak kemungkinan negeri lain akan mencontohinya.