• Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas menggesa rakan komponennya, DAP menarik kembali kenyataan yang dibuat ke atas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada Abdul Hadi itu melampau dan biadab.

"Pas melahirkan kekecewaan yang amat sangat terhadap tuduhan liar dan penghinaan ke atas batang tubuh Presiden dan Pas oleh pimpinan tertinggi DAP.

"Pas menggesa DAP menarik balik semua tuduhan melampau yang dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, DAP melalui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan semua hubungan parti itu dengan Abdul Hadi ekoran tindakan Pas membawa rang undang-undang persendirian berkenaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ke Parlimen.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng: DAP sudah hilang kepercayaan kepada Hadi ]

Menurut Tuan Ibrahim, tiada guna mesyuarat PR diadakan sekiranya DAP tetap meneruskan sikap sombong dan biadab itu.

"Kenyataan biadab dan menghina bertubi-tubi yang dilakukan DAP terhadap presiden dan Pas melampaui adab dan budaya yang boleh diterima rakyat Malaysia, apatah lagi dalam satu gabungan pakatan," katanya lagi.