• PRK Permatang Pauh
1 / 1
PERMATANG PAUH - Lapan Dewan Pemuda Pas kawasan seiring dengan keputusan dan pendirian Pemuda Pas Pulau Pinang berhubung kenyataan media AMK Pulau Pinang yang menghina dan memfitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 26 Februari lalu.

Dalam kenyataan bersama, Ketua Pemuda Pas kawasan terdiri dari Permatang Pauh, Bagan, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Tasek Gelugor dan Kepala Batas menyatakan sokongan padu pendirian itu atas dasar kebersamaan dalam mengecam kenyataan AMK Pulau Pinang dan keengganan mereka memohon maaf atas kecaman terhadap presiden.

"Adalah dipertegaskan bahawa pendirian Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang bukanlah pendirian peribadi ketuanya sahaja malah adalah pendirian yang dibuat bersama semua exco.

"Maka, pendirian ini juga adalah pendirian bersama semua exco," kata mereka dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menyebut mereka sebagai anak muda Pulau Pinang akan sentiasa berdiri teguh menunjangi kepimpinan ulama yang dikemudikan oleh presiden dalam menegakkan cita-cita untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.

Mereka juga menzahirkan kekecewaan pemuda peringkat akar umbi khususnya di peringkat kawasan terhadap Ketua Pemuda Pas Malaysia, Suhaizan Kaiat yang dilihat begitu tidak budiman dalam menguruskan perkara itu sedangkan yang dikecam oleh rakan pakatan adalah presiden sendiri.

"Kami kesal dengan sikap ego AMK yang tidak mahu memohon maaf atas kecaman terhadap Abdul Hadi sebelum ini," katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Yusni Mat Piah mengumumkan semua jentera pemuda direhatkan dari turun berkempen pada PRK Permtang Pauh berikutan kegagalan AMK Pulau Pinang memohon maaf selepas tempohnya tamat pada hari penamaan calon.