Rancangan serang balai polis, kem tentera didedah
KUALA LUMPUR - Balai polis dan kem tentera dipercayai antara yang
menjadi sasaran serangan oleh 17 individu yang ditahan polis semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia disyaki untuk memperoleh senjata api.
Beliau berkata, mereka yang berumur antara 14 hingga 44 tahun itu juga
disyaki merancang melakukan penculikan terhadap beberapa individu
berprofil tinggi.
"Mereka juga merancang membuat bom kerana terdapat nota yang
memperincikan proses pembuatan bom yang diperoleh daripada Imam Samudra
dari Indonesia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang
Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata, antara yang ditahan ialah bekas anggota Kumpulan
Mujahidin Malaysia dan bekas tahanan ISA selain ada yang pernah
menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Sulawesi.
Menteri itu seterusnya berkata, ada juga yang pernah terlibat dalam
cubaan merompak senjata api dari Balai Polis Guar Chempedak, Kedah pada
2001 selain ada yang baru sahaja pulang dari Syria selepas menyertai
kumpulan militan IS.
Katanya, dua daripada mereka merupakan anggota tentera, dua pelajar, seorang pengawal keselamatan dan dua juruwayar.
"Ancaman ini adalah ancaman yang benar dan langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan," tegasnya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment