• Pas
1 / 1
KUALA LUMPUR - Muktamar Pas yang ke-61 pada minggu depan dilihat menjadi detik penting kepada Pas memandangkan parti itu mengadakan pemilihan barisan kepimpinan bagi penggal 2015-2017, sekali gus menentukan masa depan dan arah tuju parti.

Penganalisis dan pemerhati politik berpendapat pemilihan Pas kali ini menarik perhatian kerana ia menyaksikan pertandingan bagi jawatan presiden, setelah kali terakhir jawatan utama itu ditandingi pada 1973.

Pemilihan parti, yang bergabung dengan sekutunya DAP dan PKR untuk membentuk pakatan pembangkang, kali ini juga dilihat sebagai penentu kesepakatan gabungan berkenaan khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sebelum ini, ramai pihak meramalkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan kekal menerajui parti ekoran kelebihan yang dimilikinya termasuk dilantik sebagai Naib Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa pada 22 Ogos tahun lepas oleh pengerusi kesatuan itu, Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Yang digusarkan rakan sekutunya, DAP dan PKR ialah corak pemikiran dan kepimpinan Abdul Hadi sering tidak sealiran dengan mereka, sekali gus dilihat sebagai 'liabiliti' kepada parti pakatan untuk meluaskan pengaruhnya di kalangan pengundi.

Yang demikian, adalah tidak menghairankan apabila pemilihan parti kali ini dilihat 'panas' dan dijadikan platform untuk menyingkirkan Anggota Parlimen Marang, yang telah menerajui parti selama 13 tahun sejak 2002, oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati.

Pada minggu terakhir menjelang pemilihan ini kedengaran jelas suara-suara sumbang yang mengecam dan memperlekehkan Abdul Hadi.

Berdasarkan pemerhatiannya, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya, Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat sememangnya wujud usaha untuk mengubah rejim pentadbiran Pas, apabila kali ini wujud pertandingan jawatan nombor satu parti.

"Ada usaha untuk menukar kepimpinan yang ada sekarang kerana jika ia dapat dilakukan, pemimpin baharu (yang memenangi pemilihan) sudah tentu akan melaksanakan pendekatan baharu untuk parti.

"Jadi perkara-perkara yang ditimbulkan oleh Abdul Hadi yang tidak selari dengan PKR dan DAP dapat dielakkan dan ia dapat menjernihkan hubungan dalam PR," katanya kepada Bernama.

Samsul Adabi berkata, imej Abdul Hadi yang dilabel sebagai pemimpin yang melawan arus dalam parti pakatan, menyebabkan beliau amat tidak disenangi oleh rakan sekutunya.

Kenyataan pemimpin DAP baru-baru ini dilihat seolah-olah memberi 'isyarat' kepada perwakilan supaya Abdul Hadi diganti atau kerjasama pakatan pembangkang akan terkubur.

Apakah ia benar dan tidakkah ia menggambarkan cubaan untuk campur tangan urusan pemilihan Pas?

Samsul Adabi berkata, pihak luar yang tidak menyenangi Abdul Hadi dilihat cuba campur tangan dalam urusan pemilihan Pas bagi memastikan calon yang 'mesra' kepada mereka memenangi jawatan itu.

"Memang tidak menafikan wujudnya tekanan dan campur tangan pihak luar untuk menentukan barisan kepimpinan parti yang baharu. Melihat kepada senarai calon yang bertanding, ada sebahagiannya mewakili kepentingan rakan sekutu Pas," katanya.

Penganalisis ini, bagaimanapun, yakin Abdul Hadi mampu mengekalkan jawatannya meskipun mengharungi pertandingan sengit.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pada Ahad lepas dalam tulisan di laman blog miliknya berkata parti pakatan mungkin tidak wujud lagi dalam masa dua minggu akan datang.

Hujah Kit Siang adalah di kala Umno dan BN sedang berada di tahap paling lemah dan semua syarat bagi perubahan bersejarah sudah tersedia, pada ketika ini jugalah parti pakatan berada di jurang kehancuran.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa selain soal kepatuhan terhadap dasar bersama dan prinsip konsensus pakatan pembangkang kian longgar, idea kerajaan perpaduan (unity government) Pas bersama BN yang mendapat restu Abdul Hadi adalah antara punca yang menjadikan pakatan itu lemah.

Perbalahan Pas dan DAP dalam banyak perkara bukanlah sesuatu baharu dan ia sudah pun diketahui umum.

Bahkan agenda perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan juga dilihat memberi 'ancaman' kepada keutuhan pakatan pembangkang, yang dibentuk selepas PRU12 pada 2008.

Tindakan Abdul Hadi membawa rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan juga dikatakan membelakangkan DAP dan PKR, menyebabkan Pas dikecam hebat oleh rakan sekutunya.

Samsul Adabi berkata, perbalahan Pas-DAP semakin terserlah dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Seperti PRK Dun Pengkalan Kubur, Kelantan, DAP tidak membantu Pas dalam siri kempen dan begitu juga dalam PRK Parlimen Permatang Pauh.

"Ahli Pas berkecamuk sesama sendiri tentang calon PKR yang bertanding dan Abdul Hadi tidak turun membantu kempen. Ini membuktikan perselisihan antara Pas dan DAP memang berlaku," katanya.

Pun begitu, beliau menegaskan untuk Pas 'berpatah arang berkerat rotan' dengan pakatan pembangkang dalam masa terdekat ini agak sukar, namun segala-galanya tidak mustahil.

"Pas masih mahu berada dalam Pakatan Rakyat dan dua rakannya sedar mereka memerlukan Pas untuk menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sikap DAP yang sering kali membelasah Pas atas sesuatu perkara bagaimana pun ditempelak Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Isnin, Tuan Ibrahim dilapor menggesa sekutunya DAP supaya tidak bermusuh dan menghentikan serangan terhadap parti itu demi kepentingan pakatan pembangkang.

Beliau dipetik sebagai berkata anggota Pas kini begitu 'meluat' dengan sikap DAP yang secara berterusan menyerang Pas dan Abdul Hadi. - Bernama