• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - "Bagi saya ini soal pengawasan. Bagaimana harus kerajaan mengawal bahawa apa yang dirancang itu bakal dilaksanakan?" soal Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
 
Katanya, sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) dilakukan, kerajaan sepatutnya merangka usaha yang boleh mengawal pelaksanaan perancangan tersebut.
 
Mahfuz yang juga merupakan Ketua Penerangan Pas, ia bagi mengelakkan berlakunya ketirisan; sekaligus memastikan perancangan yang dilakukan kerajaan dilaksanakan dengan telus.
 
"Kita ambil contoh 1Malaysia Developement Berhad (1MDB). Badan 1MDB ini tidak pernah ada dalam RMK sebelum ini. Selepas RMK10 diumumkan, 1MDB pula muncul.
 
"Kemunculan 1MDB yang tidak disangka ini pula telah menyebabkan negara kehilangan RM42 bilion," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya pembentangan RMK11 di Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan pelaksanaan perancangan yang dilakukan kerajaan.
 
"Isunya bukan soal rancangan pembentangan yang dibuat. Isunya adalah bagaimana pelaksanaan yang akan dilakukan oleh kerajaan nanti.
 
"Ini persoalan yang sering berbangkit dan kerajaan sudah membuktikan sendiri bahawa wujud ketirisan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Ia akan menyebabkan kerugian yang akan ditanggung negara (setiap kali pelaksanaan rancangan dibuat)," katanya lagi.