• Pas ingatkan ahli berhati-hati Ahmad (dua, kanan) diiringi Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah (dua, kiri) menyampaikan anugerah kepada seorang penerima sempena majlis ucaptama Kelantan Mendepani Cabaran, kelmarin.
1 / 1


KOTA BHARU - Pas Kelantan berharap pemimpin di kawasan lebih berhati-hati ketika menganjurkan aktiviti bagi mengelak sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan PR.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kenyataan yang bersifat peribadi juga hendaklah dielakkan bagi menjaga kesepakatan dalam PR.

“Pertemuan dan perbincangan dengan Pas Kota Bharu sudah dibuat, dan kita minta supaya mereka lebih berhati-hati dalam menjaga PR, kerana apabila adanya pandangan dan pendirian yang berlainan dengan kerajaan negeri, bermakna ia memberi ruang untuk mempercepatkan lagi perpecahan dalam PR.

“Jadi Pas negeri minta agar tidak membuat kenyataan peribadi yang boleh menimbulkan kontroversi demi hubungan dalam PR,” katanya selepas memberikan ucaptama Kelantan Mendepani Cabaran di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan menolak dakwaan pelaksanaan enakmen kanun jenayah syariah II menjadi punca kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan air terawat kepada penduduk negeri ini.

Menurutnya, hudud dan air adalah dua isu yang berbeza kerana sudah ada badan khas yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.

“Hudud ini undang-undang Islam, air pula, kita ada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Program untuk migrasi sedang berjalan, kita sedar bahawa kehilangan air cukup besar sehingga 48 peratus.

“Kita nak menukar paip seluruh Kelantan perlu RM2 bilion, jadi kita perlu kepada migrasi, insya-ALLAH dengan migrasi itu nanti kita jangka 80 peratus air kita dapat guna sehingga lima tahun selepas migrasi,” katanya.