• Wan Azhar Wan Ahmad Wan Azhar Wan Ahmad
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas menganggap tiada keperluan mana-mana pihak mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buat masa ini.

Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pertandingan di peringkat jawatan presiden juga bukanlah sesuatu yang besar memerlukan Abdul Hadi digantikan dengan mana-mana calon.

Menurutnya, jawatan presiden memerlukan seseorang mampu memegang amanah berat dan besar yang memerlukan seseorang hebat untuk mengendalikannya sebagaimana Abdul Hadi.

“Beliau turut menghadapi dugaan yang hebat apabila Lim Guan Eng sebelum ini memutuskan hubungan dengan beliau dan perkara itu dapat dihadapi kerana lahir daripada tanggungjawab berat dan amanah kepimpinan.

“Presiden sendiri teguh dan kekal dengan keputusan yang dibuat walaupun berdepan dengan cabaran dari dalam dan luar parti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Wan Azhar turut mempersoalkan tindakan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang yang mencabar Abdul Hadi pada pemilihan parti itu bulan depan sambil memberitahu walaupun sistem demokrasi diamalkan Pas, apa hujah pihak terlibat untuk mencabar presiden sedia ada.

Bagaimanapun, beliau berharap perlawanan di peringkat Pas Pusat tidak akan menimbulkan bibit perpecahan dalam kalangan ahli parti itu yang begitu sinonim dengan sikap setia mereka terhadap kepimpinan.

Mengulas lanjut, walaupun mungkin pihak luar prejudis terhadap senario dalaman Pas berikutan pemilihan peringkat presiden dicabar, namun Wan Azhar merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Besut percaya ia akan reda sebaik sahaja pemilihan berakhir.

Jelasnya, segala isu tidak menyenangkan yang timbul seolah-olah memperlihatkan Pas semakin lemah sejak belakangan ini akan surut selepas pemilihan parti selesai.

“Kita andaikan ia ibarat ribut yang melanda sekejap sahaja dan akan reda selepas itu. Semua isu ini akan selesai selepas pemilihan dan saya rasa tidak sampai ke peringkat perpecahan,” katanya.