• DAP, Pas DAP, Pas
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa rakan dari parti sekutunya, Pas dan DAP supaya menghentikan segera perbalahan antara sesama sendiri.

Beliau menegaskan pemimpin kedua-dua parti itu perlu berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan balas yang boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan kerjasama politik dalam PR.

"Saya rasa cara terbaik dalam masa dua minggu ini dengan mewujudkan tempoh bertenang. Saya harap tiada lagi kenyataan perbalahan yang membabitkan pemimpin kedua-dua parti.

"Apa sahaja keputusan selepas Muktamar Pas, saya harap kita tidak lupa kenapa kita ada di sini," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam yang mendakwa PR dijangka tidak wujud lagi dalam tempoh dua minggu akan datang.

Mengulas lanjut, Rafizi selaku Naib Presiden PKR juga menyifatkan rakan sekutunya dalam PR seharusnya bersama-sama dalam mengharungi sebarang masalah yang timbul.

"Dalam tempoh enam hingga tujuh tahun ini, ketiga-tiga parti berdepan dengan banyak ramalan tetapi tidak semua ramalan itu buruk seperti yang dispekulasikan. Bagaimanapun PR masih lagi di sini dan kita tetap berjuang untuk rakyat.

"Saya agak optimis apa pun terjadi dalam dua, tiga bulan ini, jika kita menyeberangi jambatan bersama-sama, pimpinan tertinggi PR akan tahu kenapa kita banyak sokongan selama enam hingga tujuh tahun ini," katanya lagi.