• Wan Azhar Wan AhmadWan Azhar Wan Ahmad
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas menyifatkan penolakan DAP terhadap hudud disebabkan pihak terlibat melihat usaha itu bagi tujuan politik semata-mata sedangkan usaha Pas adalah perjuangan memenuhi tuntutan agama.

Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, DAP lebih melihat perjuangan untuk melaksanakan hudud lebih kepada persepsi dan kepentingan politik.

“Kalau diambil asas itu, DAP ada hak (menolak) kerana mereka bukan Islam, mereka tidak faham dan model (pelaksanaan hudud) tidak dapat dilihat oleh DAP menyebabkan ia tidak diyakini sebab mereka tidak dapat lihat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sehubungan itu untuk memurnikan perkara tersebut katanya, Pas perlu meneruskan usaha memberi kefahaman kepada bukan Islam mengenai perjuangan ke arah pelaksanaan hudud.

Sementara di pihak DAP kata beliau, pihak terlibat perlu terbuka dan sedia mendengar, melihat, memahami bahawa perkara diusahakan Pas merupakan satu tuntutan agama yang perlu digerak Pas.

“Perlu difahami bahawa Pas pikul tuntutan agama, bukan politik. Polemik berlaku setelah DAP lihat dari kaca mata politik bukan daripada kaca mata umum atau kepentingan masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun pimpinan DAP mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan untuk menolak hudud, namun pihak terlibat tidak sepatutnya meminggirkan sensitiviti khususnya di Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempertikaikan hudud di Kelantan dilihat seolah-olah memulakan pertembungan pemikiran dengan rakan PR di negeri itu.

“Apabila pengundi pilih Pas di Kelantan, sudah pasti mereka mahu lihat (hudud) dilaksanakan,” katanya.