• Azmin Ali Azmin Ali
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pelan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) akan menemui kegagalan sekiranya penyelewengan masih berleluasa di negara ini.
 
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan harus wujudkan fokus untuk meneliti dan menyemak semula persoalan ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan yang telah menyumbang kepada satu jumlah yang besar seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara.
 
"Saya bimbang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini. Sekiranya kerajaan tidak mempunyai keinginan moral untuk memastikan ketirisan dapat dihentikan, pelaksanaan program-program seperti ini akan terganggu dan terbantut kerana dana dan hasil yang ada di negara tidak diurus dengan baik dan bertanggungjawab.
 
"Inisiden-insiden yang berlaku akhir-akhir ini seperti 1MDB, Tabung Haji langsung tidak disentuh oleh kerajaan. Ini menyebabkan pelabur asing dan tempatan semakin terhakis untuk mengembangkan ekonomi dalam negara kita," katanya ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat hari ini.
 
Mengulas mengenai perjanjian air antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, beliau berkata, kedua pihak telah mencapai persetujuan bersama dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
 
"Memang kita bersedia bersama-sama dengan kerajaan persekutuan dengan syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju seperti proses biasa.
 
"Kita mahu ketelusan dan keterbukaan dalam pelaksanaan projek Langat 2 ini yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada rakyat di Selangor bagi menjamin bekalan air yang baik," katanya lagi.