• Liow Tiong LaiLiow Tiong Lai. - Foto Bernama
 1 / 1 
PUTRAJAYA - Ketua Audit Negara (AG) akan diminta untuk menjalankan audit terhadap projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya langkah untuk mengaudit KLIA2 dalam mesyuarat Kabinet dan perkara itu telah pun mendapat kelulusan Kabinet.

Beliau menjelaskan memandangkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merupakan sebuah entiti tersenarai, kelulusan Kabinet adalah diperlukan bagi penglibatan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit terbabit.
  
"Pihak AG akan diminta untuk menjalankan audit tersebut dengan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Tiong Lai menjelaskan bahawa beliau menyahut cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sejak dari awal lagi supaya Ketua Audit Negara menjalankan siasatan terperinci terhadap pengurusan pembinaan dan pembangunan KLIA2.
  
"Saya ingin menekankan bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mendapatkan jawapan dan perkara sebenar berhubung perkara ini," katanya.
  
Tiong Lai dalam pada itu tidak menafikan terdapat kos tambahan yang terlibat dalam pembangunan KLIA2.
  
Walau bagaimanapun, katanya kos tersebut adalah hasil daripada skop dan keperluan dari segi kemudahan dan saiz yang telah dikaji semula dan dipinda berdasarkan keperluan tambahan pihak berkepentingan utama.
  
KLIA2 memulakan operasinya pada 2 Mei tahun lepas, dilaporkan mengalami peningkatan kos daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.
  
Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, adalah menjadi tanggungjawab MAHB sebagai pemilik dan pengurus KLIA2 untuk bekerjasama sepenuhnya dengan PAC dan memberi keterangan dan informasi yang diminta secara telus.
  
"Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa MAHB harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjawab segala penemuan PAC dan saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin," katanya. - Bernama