• Mohd Azam Abd Samat Mohd Azam Abd Samat
1 / 1
ALOR SETAR - Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang terus mempertahankan kedudukan Pas dalam PR walaupun diserang teruk rakan sekutu sendiri disokong penuh Pemuda Pas Kedah.
 
Ketuanya, Mohd Azam Abd Samat berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa beliau masih setia bersama PR menunjukkan dirinya seorang pemimpin berjiwa besar.
 
Menurutnya, walaupun menerima serangan bertubi-tubi, namun beliau tetap tidak membalas serangan atas peribadi dirinya.
 
“Beliau hanya mempertahankan dan bertegas pada perkara dasar serta prinsip Pas. Beliau tidak mahu memanjangkan isu.
 
“Beliau menganggap hubungan dan gabungan bersama itu penting serta sentiasa mencari jalan berusaha mempertahankan hubungan rakan pakatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Kelmarin, Abdul Hadi menegaskan Pas masih setia bersama PR buat masa sekarang, namun akan datang situasinya masih belum diketahui.
 
"Jika mengikut sejarah, Pas pernah melalui pelbagai pengalaman antaranya pernah bersendirian, pernah dalam kerajaan dan keluar kerajaan.
 
"Biasanya peristiwa lama tidak akan berulang kerana konsep masyarakat majmuk di Malaysia tidak boleh bersendirian," katanya.
 
Sementara itu Mohd Azam berkata, perkara ini selaras dengan saranan dan komitmen Pas bersama PR yang selalu dinyatakan selama ini.
 
“Semua pihak terutamanya DAP mesti memilih jalan harmoni dengan tidak terus memprovokasi Abdul Hadi.
 
“Sebagai Presiden Pas, beliau ketua organisasi parti ini dan mewakili seluruh ahli serta entiti Pas sebagai rakan dalam gabungan PR. Beliau mesti dihormati dan diberikan hak sewajarnya,” katanya.
 
Katanya, gabungan PR mesti segera diperkukuh seterusnya memberi fokus untuk menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).