Negara maju, tapi rakyat masih hidup susah
KUALA LUMPUR - Dalam keghairahan untuk mencapai negara maju pada tahun
2020, asas utama mengaitkan pendapatan rakyat yang tidak selari dengan
kos sara hidup masih belum ditangani pemerintah.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, meskipun kadar
kemiskinan tegar semakin berkurangan namun hakikatnya rakyat kita masih
hidup susah.
"RMK11 itu bagus...tapi saya sendiri berpendapat soal asas perlu
ditekankan juga. Walaupun dimaklumkan bahawa kemiskinan tegar telah
berkurangan dengan banyak...baguslah...itu kejayaan tapi hakikatnya
rakyat susah. Pendapatan rakyat tak sepadan dengan kos yang meningkat.
Itu satu faktor yang mesti ditekankan.
"Soal perbekalan air, kita di Selangor dan Kuala Lumpur pun selalu
menghadapi masalah air. Tapi kita nak pergi ke arah negara maju. Maju
bagaimana?...kalau air pun tak ada. Soal pendidikan, banyak graduan kita
yang susah dapat kerja. Kalau dapat kerja pun, gaji tak tinggi.
"Ini yang menjadi masalah kepada kita. Bagaimana kita nak menjana semua
jentera untuk memacukan ekonomi kita kalau kemahiran, produktiviti
tidak begitu baik?," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Rancangan
Malaysia ke-11 (RMK11) di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan apa yang dirangka kerajaan itu
baik untuk rakyat dan negara namun beliau berpendapat perkara asas dalam
pembentukan negara maju itu lebih perlu ditekankan sebelum memastikan
kita mencapai ke tahap tersebut pada 2020 nanti.
Dalam pada itu, beliau turut bersetuju agar pendapat rakyat negara ini
ditingkatkan bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup.
"(Sepatutnya pendapatan rakyat dinaikkan?) Ya. Kita tak nak (apabila)
wujudkan peluang-peluang, orang luar dapat kerja. Rakyat kita tak dapat.
Buat MRT, rakyat kita tak dapat, orang luar dapat. Kalau kita tak
dapat memahirkan orang-orang kita dengan kebolehan bagaimana kita nak
pergi ke depan?
"Saya nak tengok rakyat kita dapat faedah daripada segala rancangan
kemajuan. Tapi kalau setiap yang kita buat, orang kita tak ada tempat,
orang luar yang dapat...banyak upah yang dibayar mengalir ke luar, ini
tidak membantu kita," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment