• B Chandran B Chandran
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu mengingatkan mana-mana pihak termasuk ahlinya supaya tidak sesekali memperlekeh golongan ulama.
 
Pengerusinya, Dr B Chandran berkata, sekalipun jika ada tidak bersetuju dengan golongan tersebut terutama dari sudut pengurusan parti, mereka tidak seharusnya meringan-ringankan peranan ulama kerana berpendapat ulama adalah seseorang yang sangat profesional dalam bidang keagamaan.
 
Berdasarkan perkembangan dalam parti ketika ini yang mempertikaikan peranan dan kredibiliti ulama, beliau menganggap masing-masing ada hak untuk bersuara secara demokrasi yang dibenarkan parti tanpa perlu memburukkan mana-mana pihak.
 
“Mereka adalah orang profesional dalam ilmu agama dan tahu menguruskan pentadbiran berdasarkan apa yang disarankan agama, kerana mereka adalah golongan yang takutkan Tuhan.
 
“Kalau kita tak suka atau sokong, itu hak masing-masing tetapi untuk merendahkan golongan tersebut, saya boleh katakan ia bukan cara Islam,” katanya.
 
Beliau menjelaskan bahawa perkara sedemikian turut diingatkan kepada ahli supaya tidak timbul isu menghina ulama.
 
Beliau berkata, kepimpinan ulama yang diamalkan Pas juga membuktikan bahawa parti itu diurus dengan baik.
 
Jelasnya, Pas turut membuktikan parti itu bersih dan mampu memperjuangkan parti dengan cara istiqamah atau tetap atas dasar parti.
 
“Ini boleh dilihat berdasarkan beberapa parti dalam PR sendiri seperti DAP dan PKR yang pernah berdepan dengan situasi lompat parti dalam kalangan ahlinya sedangkan dalam Pas, perkara sebegini tidak wujud langsung,” katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Chandran turut yakin Pas tidak akan sesekali bergabung dengan Umno sebagaimana didakwa sesetengah pihak termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
 
Katanya, isu itu hanya ditimbulkan tanpa fakta yang jelas sambil memberitahu Umno dan Pas berbeza sama sekali dari sudut perjuangan kerana Umno lebih bersikap nasionalis berbanding Pas yang memperjuangkan dasar Islam tanpa mengira bangsa dan agama.