Kaji semula tambang pengangkutan awam
KUALA LUMPUR - Puteri Umno hari ini tampil mendesak kerajaan mengkaji
semula kemenaikkan harga pengangkutan awam yang dilihat dibuat
secara mendadak.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu dilihat
perlu memandangkan kenaikan tersebut menambah tekanan kos sara hidup
terutamanya golongan muda.
"Kami mendesak pihak kerajaan melalui SPAD untuk mengkaji semula dan
merationalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang membebankan
pengguna melalui kenaikan tambang LRT serta ERL yang mendadak serta
pengenalan tambang yang agak tinggi bagi perkhidmatan baru iaitu Bus
Rapid Transit (BRT).
"Kerisauan orang muda kini adalah tekanan kos sara hidup yang
meningkat. Warga kota kini amat terkesan dengan ketakstabilan ekonomi
yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan kehidupan
berkeluarga, beban kos sara hidup yang tinggi adalah perkara yang perlu
diambil kira," katanya semasa merasmikan Persidangan Puteri Umno, di
sini, hari ini.
Katanya, perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan wanita muda
adalah pendapatan bulanan yang tidak seimbang dengan keperluan kos sara
hidup yang merangkumi kos pengangkutan, tempat tinggal dan keperluan
untuk menyimpan untuk masa depan.
"Statistik menunjukkan lebih 50 peratus pengguna pengangkutan awam
adalah dari kumpulan umur dibawah 35 tahun dan 52 peratus pengguna
tersebut adalah golongan pelajar. Kita perlu sedar bahawa matlamat
memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam adalah agar kualiti hidup
rakyat dapat ditingkatkan melalui lebih banyak pilihan mod pengangkutan
dengan kos yang berpatutan untuk menjalankan aktiviti seharian.
"Jika kita gagal menarik minat kumpulan sasaran ini, matlamat jangka
panjang untuk menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan nombor
satu tidak akan dicapai dan ini akan menyebabkan negara ketinggalan
dalam merealisasikan matlamat pembangunan lestari yang merupakan tren
pembangunan global," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah Prasarana Malaysia Berhad
yang menawarkan pakej diskaun kepada golongan pelajar, warga emas dan
OKU.
Pihaknya juga berharap tawaran tersebut turut dilakukan oleh semua syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.
0 orang berkata:
Post a Comment