Pas Johor pertahan kerusi ditandingi
JOHOR BAHRU - Pas Johor bertekad untuk mempertahankan semua kerusi yang
ditandingi termasuk empat kerusi dimenangi pada pilihan raya umum (PRU)
lalu iaitu Sungai Abong, Maharani, Puteri Wangsa dan Parit Yaani pada
PRU ke-14 akan datang.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, melihat
senario politik Johor pada masa kini, pihaknya optimis akan mempunyai
lebih peluang di beberapa kerusi yang ditandingi oleh DAP seperti Dun
Tangkak, Yong Peng, Johor Jaya, Stulang, Pengkalan Rinting dan Pekan
Nanas selain kerusi Parlimen Labis, Bakri dan Tanjung Piai.
Beliau berkata, Pas negeri turut tidak menolak kemungkinan akan
bertanding kerusi PKR kerana tiada jawapan selepas parti berhubung
dengan pihak mereka untuk sesi suai kenal.
“Kerusi dimaksudkan adalah Dun Bukit Naning, Semerah, Layang-Layang,
Kahang dan Tanjung Puteri selain Parlimen Segamat, Sekijang, Ledang,
Muar, Sri Gading, Batu Pahat, Tebrau, Pasir Gudang dan Johor Bahru,”
katanya pada sidang media, semalam.
Ditanya sama ada Pas Johor bersedia untuk bersendirian pada PRU akan
datang, Mahfodz memberitahu parti itu sudah bersedia untuk bergerak
sendirian jika berkemungkinan tiada lagi kerjasama dengan PKR.
“Kini kami sedang mengenal pasti kerusi yang boleh dimenangi tambahan
pula, calon Pas sendiri ramai, ia termasuk ahli Pas sendiri dan rakan
dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
“Kami sudah ada fokus sasaran malah dengan bersendirian, kita mungkin boleh tambah beberapa kerusi lagi.
"Bagaimanapun, kami optimis PKR masih bersama dengan Pas sekali gus
tidak akan bertanding tiga penjuru melibatkan Pas-PKR,” katanya.
Selain itu, katanya, setiap kawasan di negeri ini sudah diminta untuk
mengemukakan dua atau tiga individu yang dikenalpasti sebelum dipilih
sebagai calon Pas pada PRU akan datang.
“Kita jangka semua kawasan dapat beri nama seperti diminta menjelang hujung Januari ini,” katanya.
Mahfodz turut memberitahu, Pas Johor sedang memperkasakan organisasi di
semua peringkat sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14.
Katanya, beberapa program sudah dijalankan bagi tujuan itu antaranya
seminar, konvensyen, retreat, Liqa’ fikri dan pembinaan kepimpinan serta
organisasi di semua peringkat.
“Ini termasuk retreat jentera pilihanraya, konvensyen sekretariat,
seminar organisasi dan keahlian, seminar kefahaman kepimpinan, retreat
Pas Johor serta program-program lain di peringkat kawasan.
“Untuk memastikan pemerkasaan parti berterusan, pimpinan tertinggi
parti akan turun ke kawasan-kawasan mulai Disember ini, untuk
meningkatkan lagi gerak kerja organisasi bagi menghadapi pilihan raya,”
katanya.
Menurutnya, fasa seterusnya adalah memperkasakan penerangan di seluruh
peringkat dan meraih sokongan massa supaya Pas Johor menjadi
satu-satunya pilihan masyarakat untuk menggantikan Umno di negeri ini.
0 orang berkata:
Post a Comment