Tak mungkin Pas-Pakatan Harapan bergabung
SHAH ALAM – Pas sama sekali tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi
DAP berterusan menentang hak umat Islam, terutamanya isu berkaitan Rang
Undang-Undang 355.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas juga
tidak akan menyertai pakatan itu kerana Parti Amanah Negara (Amanah)
telah mengheret ahli Pas dan merosakkan Pas setelah tidak terpilih dalam
muktamar.
“Ini kali kedua sikap pakatan itu berubah selepas Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sarawak dan PRK (kawasan Parlimen) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Kenyataan ini jauh berbeza dari waktu mereka menyerang Pas sebelum PRK
dan semasa kempen dua pilihan raya tersebut.
“Bagi saya Pas tidak mungkin menyertai pakatan itu selagi adanya sikap
melampau DAP yang berterusan menentang hak umat Islam bagi mengamalkan
agamanya sama ada isu RUU 355 atau lainnya,” katanya kepada Sinar
Harian.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub
yang ajak Pas kembali ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan selepas
kekalahan di kedua PRK itu baru-baru ini sebagai isyarat rakyat mahukan
gabungan parti pembangkang kembali utuh.
Menurut Tuan Ibrahim, serangan antara satu sama lain perlu dikurangkan dan saling menghormati prinsip perjuangan parti lain.
“Saya dah ingatkan sebelum ini kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar
adalah kerusi tradisi Pas. Mereka (Pakatan Harapan) sepatutnya
menghormati dengan tidak menyertai pertandingan. Namun mereka letak juga
calon dan mulai serang Pas. Serangan kepada Pas terkadang lebih kuat
dari menyerang BN.
“Pas akan memperkasakan blok ketiga dan menyusun semula strategi parti.
Dengan kekuatan teras antara 43 peratus kami yakin masa depan parti
semakin baik. Kita akui perlunya pembangkang bersatu dalam menghadapi
BN, tetapi menyertai mereka (Pakatan Harapan) tidak mungkin,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, pembangkang perlu kerjasama tapi ini bukanlah bermaksud bergabung tapi mewujudkan satu mekanisme baharu.
“Prinsip utama yang boleh dipersetujui ialah satu lawan satu, dan
jangan minta rakan kerjasama korbankan kerusi dan setiap parti mesti
diberi kebebasan perjuangkan prinsip parti secara demokrasi, " katanya.
1 orang berkata:
Terbaik TITM.. mmg layak terajui PAS bersama pemimpin nombor 1 yg dikasihi TGHA..
Post a Comment