Amanah boleh simpan harapan ganti Pas di Selangor
SUNGAI BESAR - Parti Amanah Negara (Amanah) boleh terus menyimpan
harapan mereka untuk menggantikan Pas dalam kerajaan Selangor, kata
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Iskandar berkata walau apapun keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini, Pas akan tetap bersama kerajaan
dan memegang kerusi exco dalam kerajaan negeri itu.
"Amanah perlu ingat, Pas, DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri
pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, sebelum wujudnya Amanah,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menjawab desas-desus exco Pas perlu meletak jawatan dan
digantikan dengan Amanah sekiranya undi calon Pakatan Harapan melebihi
undi Pas dalam PRK nanti.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon Pas bagi PRK Sungai Besar Dr Abdul Rani Osman.
PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan
Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei
lepas.
Pada PRK ini, Dr Abdul Rani berdepan pertandingan tiga penjuru dengan
menentang calon BN yang juga Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi dan
calon Amanah yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.
Tiga anggota exco Pas Selangor ialah Iskandar yang merupakan exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad
Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Hal
Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung
Tradisi); serta Zaidy Abdul Talib (exco Infrastruktur Kemudahan Awam,
Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).
Iskandar bagaimanapun enggan mengulas mengenai kedudukan Pas bagi
menghadapi PRU14 kerana masih terlalu awal untuk dibincangkan. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment