‘Pas sudah jauh berubah’
KUALA TERENGGANU - Pas disifatkan telah jauh berubah berbanding dahulu
kerana dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan parti
kerajaan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul
Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, realiti itulah yang menyebabkan
pihaknya mengambil bahagian bagi memberi alternatif lain kepada rakyat.
Beliau turut menyifatkan perubahan berlaku pada Pas itu semakin hari
semakin jelas termasuklah dalam Muktamar Tahunan Pas di Kota Bharu
baru-baru ini.
"Dalam muktamar tersebut, acara yang dibuat Pas dilihat lebih kepada
sikap nasionalisme dan terarah kepada doktrin Umno, dari segi pakaian
dan juga iringan muzik serunai.
"Dahulu kata serunai tidak boleh digunakan. Anak-anak muda terkejut, macam mana pula serunai boleh didengarkan.
"Ini menunjukkan sikap Pas dahulu lain, sekarang lain," katanya di sini. Beliau juga turut mempersoalkan sikap Pas yang dilihat tidak
bersungguh-sungguh mengambil peluang terhadap isu kepimpinan melanda
kerajaan negeri sebelum ini.
Jelasnya, berhubung undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad
Razif Abd Rahman, yang dibuat Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, Pas
dilihat tidak mengambil peranan.
"Orang Terengganu sendiri faham khususnya berhubung undi tidak percaya
sebelum ini. Peluang keemasan diberi oleh Datuk Seri Ahmad Said tetapi
ditolak Pas," katanya.
Dalam masa sama, beliau memberitahu bahawa penyertaan Amanah dalam PRN
Sarawak dan dua PRK yang bakal berlangsung 18 Jun ini menggambarkan
kesungguhan Amanah menyertai politik negara.
Jelasnya, walaupun Amanah sebagai parti baharu mendapat tentangan
sengit di kerusi yang ditandinginya, ia sekurang-kurangnya boleh
menyedarkan ramai pihak terhadap komitmen Amanah dalam memberi pilihan
kepada rakyat.
0 orang berkata:
Post a Comment