‘Demo bukan cara saya’
SEKINCHAN - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa,
kerajaan berharap kumpulan Deklarasi Rakyat yang digerakkannya itu
menganjurkan perhimpunan jalanan besar-besaran.
Beliau berkata, jika pendekatan agresif itu diambil, ia hanya
memudahkan kerajaan melumpuhkan gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun
Razak itu dengan menahan beliau dan pemimpin pembangkang lain.
“Saya rasa kerajaan menunggu kami melakukannya (demonstrasi). Ini
kerana mereka boleh guna gas pemedih mata dan menahan pemimpin. Tak
mungkin mereka boleh menahan 500,000 orang (peserta demonstrasi).
“Yang terbaik ialah dengan menahan pemimpin-pemimpin. Sebaik saja
mereka menahan pemimpin, ia akan melumpuhkan semua perkara. Mereka
selalu menggesa kita melakukan perhimpunan jalanan besar-besaran,”
katanya.
Mahathir bagaimanapun berkata, pendekatan turun ke jalanan bukan caranya untuk menyatakan bantahan menjatuhkan Najib.
“Saya mahu juga menganjurkannya (demonstrasi), tapi ia bukan cara saya.
Awak pun tengok cara saya (Deklarasi Rakyat). Saya percaya kepada
kekuatan suara rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahathir menegaskan akan meneruskan serangan terhadap
Najib meskipun BN memenangi dua PRK kawasan Parlimen Sungai Besar dan
Kuala Kangsar.
“Saya akan terus menyerang Perdana Menteri walaupun BN menang. BN
menang bermakna rakyat kalah dan kemenangan ini untuk menambah dua orang
lagi wakil rakyat yang hanya akan berkata 'ya' dan 'ya' kepada arahan
Najib.
“Saya akan terus mengumpul lebih banyak Deklarasi Rakyat sehingga kita
capai angka yang besar, walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak mahu
menemui saya,” katanya.
Dalam sidang media sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad
Sabu tidak menolak untuk menganjurkan perhimpunan jalanan itu.
“Kita tengok perkembangan (Deklarasi Rakyat). Himpunan itu salah satu
jalan demokrasi, tanpa kekerasan dan keganasan. Bergantung kepada
suasana semasa,” katanya.
1 orang berkata:
Boleh ke dapat 500,000 tanpa penyertaan PAS?.. maksima 50,000 mungkin..
Post a Comment