Muhyiddin akan bersama Amanah?
PARTI Amanah akan ‘bungkus’. Itu tanggapan sesetengah pihak berdasarkan keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.
Meskipun di Sungai Besar, Amanah mendapat undi kedua terbanyak selepas
BN dan berjaya mengatasi Pas – apa yang disebut-sebut sebagai sebab dan
matlamat mereka menyertai pilihan raya – bagi sesetengah pemerhati,
7,609 undi diperoleh sekadar menyerlahkan lagi kelemahan parti pimpinan
Mat Sabu itu.
Ini kerana, jumlah undi sebanyak itu dianggap kecil berbanding Pas yang
mendapat 6,902 undi. Walaupun undi untuk Pas kurang berbanding Amanah,
apa yang diperoleh parti itu dikategorikan sebagai undi ‘solid’
sedangkan undi untuk Amanah, selain daripada penyokong sendiri, juga
adalah daripada penyokong DAP dan PKR.
Ini bermakna untuk mengatasi Pas, Amanah memerlukan undi daripada
penyokong dua parti lain yang secara relatif menunjukkan parti itu belum
cukup kuat untuk menyaingi Pas.
Tambahan pula sepanjang tempoh kempen PRK, calon Amanah mendapat
sokongan padu jentera DAP terutama di kawasan majoriti Cina di Dun
Sekinchan yang diketahui adalah kubu parti itu.
Lalu pada PRU, apabila setiap parti bertanding di kawasan sendiri,
dengan kekuatan jentera sendiri dan tidak lagi mendapat sokongan
daripada rakan-rakan pakatan sebagaimana PRK, apa yang diperlihatkan
oleh Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah meragukan!
Di Kuala Kangsar, meskipun menjadi satu-satunya parti yang menampilkan
calon anak tempatan, Amanah sekadar mampu meraih 4,883 undi berbanding
BN (12,653 undi) dan Pas (5,684 undi).
Justeru, Amanah dianggap parti yang melangkah menuju PRU14 dalam
keadaan tempang, setidak-tidaknya berdasarkan keputusan kedua-dua PRK
ini!
Namun bagi sesetengah pemerhati, keadaan ini boleh berubah menjelang
PRU14. Kedudukan Amanah yang dianggap lemah dan masih terkial-kial
mencari tempo, mungkin akan menjadi sebaliknya dalam tempoh dua tahun
lagi.
Ini berdasarkan perkembangan semasa yang bagi sesetengah pemerhati,
membuka ruang untuk Amanah menjuarai keadaan jika pemimpin parti itu
bijak mengeksploitasi situasi terutama membabitkan dua bekas pemimpin
besar Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
yang baru dipecat daripada parti itu kelmarin.
Kata mereka, laba sedang bergolek ke kaki pemimpin Amanah. Pada kedua-dua PRK, Tun Dr. Mahathir Mohamed turun berkempen untuk
calon parti itu. Beliau sepentas bukan sahaja dengan Mat Sabu malahan
juga supremo DAP, Lim Kit Siang yang dianggap godfather Amanah.
Deklarasi Rakyat yang dipelopori Mahathir, disokong kuat oleh pemimpin
Amanah pada ketika ia ditentang bukan sahaja oleh Umno, bahkan juga Pas
dan pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini sekali gus menunjukkan Mahathir memerlukan Amanah untuk terus
menggerakkan kempen menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak dari kerusi
Perdana Menteri.
Pas yang kini sedang mengaplikasi konsep politik matang dan sejahtera
tidak bersetuju untuk Perdana Menteri digulingkan di luar proses pilihan
raya.
Meskipun Muhyiddin dan Mukhriz tidak turun berkempen di Sungai Besar
dan Kuala Kangsar - asbab pemecatan mereka daripada Umno adalah membantu
kempen parti lawan - menerusi penglibatan Mahathir, mereka dianggap
berada di pihak yang sama oleh pemimpin dan penyokong Amanah dan DAP.
Dan apa yang berlaku kepada bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah itu, turut mendapat simpati mereka.
Muhyiddin dan Mukhriz dianggap hero yang memperjuangkan kebenaran,
tetapi akhirnya disingkirkan oleh parti mereka sendiri apabila dianggap
sebagai ancaman.
Jika sebelum ini, kedua-dua bekas pemimpin Umno itu dipercayai sengaja
berdiam diri setelah digugurkan daripada jawatan dalam kerajaan untuk
tidak dikaitkan dengan sebarang salah laku yang akan membawa hukuman
lebih berat, Muhyiddin dan Mukhriz – berdasarkan kenyataan Muhyiddin
semalam - tidak lagi akan terus tunduk setelah dipecat kelmarin.
Mereka mempunyai penyokong dan simpatisan yang ramai, termasuk daripada kalangan nonpartisan.
Kedua-dua Muhyiddin dan Mukhriz memerlukan platform. Adalah dipercayai,
dalam Umno tidak akan ada mana-mana pihak yang berani memberikan mereka
ruang melihat pada tindakan tegas pucuk pimpinan parti dan kerajaan
terhadap pihak yang menentang. Ini termasuklah pemberhentian peruntukan
kepada Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) yang jadi tapak aktiviti
Mahathir selepas bersara, kelmarin.
Justeru, bagi pemerhati, inilah masa dan ruangnya untuk Amanah
menyediakan platform kepada Muhyiddin dan Mukhriz dalam keadaan mereka
memerlukan pentas dan crowd untuk turun memberikan penjelasan kepada
rakyat akan segala hal yang berlaku ke atas diri mereka.
Sebelum ini, Pas mungkin boleh dianggap lebih sesuai berbanding Amanah
untuk menyediakan ruang kepada kedua-dua bekas pemimpin besar Umno itu
namun melihat pada perubahan sikap parti itu yang kini
bersungguh-sungguh mahu mengamalkan budaya politik matang dan sejehatera
terutama dalam hubungan dengan Umno, mungkin tidak ada lagi sudut untuk
Muhyiddin dan Mukhriz mendedahkan apa-apa yang buruk mengenai Najib di
pentas Pas. Lebih-lebih lagi, Pas kini dalam keadaan memerlukan sokongan
Umno untuk menyokong usul RUU Akta 355 di Dewan Rakyat.
Tambahan pula, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini
jadi sasaran Mahathir berhubung isu 'dedak' dan komitmen menjatuhkan
Najib. Abdul Hadi membalas dan kemudian turut ditumpang semangkuk oleh
Ketua Pemuda Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.
Jika Muhyddin dan Mukhriz setuju untuk berkolaborasi dengan Amanah, ia
boleh dianggap satu langkah menang-menang yang akan membawa lonjakan
kekuatan bagi parti itu menghadapi PRU14.
Soalnya, adakah mereka bersedia ke arah itu, untuk naik ke pentas
pembangkang secara terang-terangan dan menghentam parti yang pernah
memberikan mereka ruang?
Situasi mereka tidak sama dengan Mahathir. Mahathir sudah mencapai
tahap pesara politik dan tidak ada apa lagi yang mahu dikejar dalam
kariernya melainkan berjuang atas prinsip dirinya sendiri.
Muhyiddin, meskipun usianya sudah 69 tahun, sudah 40 tahun bergelumang
dalam politik dan boleh dikira sesuai juga andai beliau membuat
keputusan mahu bersara, sudah tentu tidak mudah baginya untuk mengakhiri
karier dalam keadaan seperti sekarang. Lagi pun dalam kenyataannya
semalam, Muhyiddin menyatakan beliau akan terus berjuang.
Beliau masih memerlukan platform untuk membela dirinya di hadapan
rakyat, lebih-lebih lagi berkaitan skandal yang ditohmah terhadapnya
oleh seorang blogger.
Soalnya bersediakah untuk Muhyiddin melafaz talak tiga sekali gus kepada Umno?
Bukan tidak pernah ada pemimpin Umno yang dipecat, akhirnya kembali setelah kepimpinan parti berpindah tangan.
Mahathir dipecat pada era Tunku Abdul Rahman dan kembali semula ke
pangkuan parti pada era Tun Razak. Setelah dipecat, Mahathir menggunakan
pentas Pas namun menegaskan itu bukan bermakna beliau mahu menyertai
Pas, sekadar menggunakan ruang yang diberi untuk menyatakan pendiriannya
di hadapan rakyat.
Apabila beliau menggunakan pentas pembangkang kali ini, senario sudah berbeza bagi Mahathir.
Apakah Muhyiddin dan Mukhriz juga sedia untuk mengambil tindakan yang serupa?
Mampukah pemimpin Amanah memujuk mereka untuk sama-sama menggembleng tenaga menurunkan Najib?
6 orang berkata:
Muhyiddin masuk pis..lagi lawakkkk
Sokong.
Untaa dan keldai shj masuk pis
Apa yg lawaknya. Janji rejim BN Umno tumbang. Kenapa hati tuan tisu sangat! Suka memperlekehkan orang!
Betul kalau pis taknak jatuhkan bn umno biarkan.
Misi rakyat itu sudah jelas dr dulu!
Misi kuali yg tak nak jatuhkan BN.. sbb tu sibuk nk tolong Tun M selamatkan UMNO..
Kuali lebih suka sekuler dari islam.
Post a Comment