Pas membayangkan masih mampu menang
SUNGAI BESAR - Pas membayangkan masih mampu memenangi Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar meskipun mengakui segelintir pengundi
parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRK-13) lalu mengalih sokongan
terhadap Pakatan Harapan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas yakin
dapat menarik pengundi Umno yang dijangka berpecah dua untuk menyokong
Pas sekali gus mampu merampas kerusi yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu.
“Kadang-kadang bila berlakunya perpecahan ini, tak semestinya
mendatangkan sesuatu yang negatif. Boleh jadi pengundi Cina akan pergi
ke DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah).
“Kita perlu tahu juga, kemungkinan pengundi Umno akan berpecah dua dan
tak mustahil mereka beri sokongan kepada Pas,” katanya kepada Sinar
Harian pada penamaan calon di Pekarangan Dewan Seri Bernam, di sini,
pagi tadi.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pas sentiasa
bersikap optimis bahawa mereka sentiasa berpeluang untuk menang, asalkan
strategi, cara kempen dan anggota parti itu bekerja keras.
“Kami telah mengambil ketetapan apa jua keadaan, termasuk tiga penjuru
kita tetap meneruskan langkah dan perjuangan kita untuk berdepan dengan
sesiapa saja kerana kita membawa ideologi dan prinsip perjuangan yang
jelas.
“Kita tak boleh kompromi dalam urusan prinsip perjuangan ini.
Memanglah, kita akui PRK ini bukanlah mudah, tetapi jika semua jentera
parti bersatu-padu, saya yakin kita mampu peroleh kemenangan,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment