'Baba, sini seakan di bumi Anbiya'
SHAH ALAM - Anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din berkongsi
suasana perjalanan akhirnya bersama jasad Mursyidul Am Pas itu ketika
menuju ke lokasi persemadian akhir bapanya yang dipanggil Baba itu.
Menurut Dr Huda, beliau melihat seakan-akan mereka bukan di bumi California, Amerika Syarikat.
Sebaliknya sepanjang perjalanan mendekati lokasi Tanah Perkuburan Islam
Five Pillars Farm Livermore bagaikan mengulit kenangan mereka bersama
sewaktu menikmati keindahan Bukit Uhud.
"Baba, ini kali terakhir kita berjalan bersama di alam ini Ba. Indah
sungguh pemandangan di kiri dan kanan menuju ke tempat rehat Baba. ALLAH
pilih di sini, Ba.
"Persis memori tika menikmati keindahan Bukit Uhud. Seolah-olah bukan
di bumi California. Seakan kami di bumi Anbiya'," katanya sambil
berkongsi tiga keping gambar pemandangan dari dalam kenderaan
dinaikinya.
Setibanya di lokasi, beliau menyifatkan suasana di kawasan itu damai, indah dan tenang.
Beliau sempat mengucapkan terima kasih atas bantuan semua pihak yang
membantu keluarganya dalam urusan pengebumian jasad arwah bapanya itu
tanpa soal jawab.
Ketika urusa solat jenazah di masjid, Dr Huda akui tidak menyangka penerimaan yang diberi kepada mereka sekeluarga.
"Berebut-rebut jemaah dan memeluk dan menyantuni takziah kepada kami. Terpana. Tidak sangka.
"Tidak pernah bersua. Tidak pernah bersapa. Tidak kenal siapa. Cuma ukhuwah fillah. Hangatnya persaudaraan di sini," katanya.
Urusan pengebumian jenazah Allahyarham selesai kira-kira jam 6 petang waktu California (kira-kira 9 pagi waktu Malaysia).
Allahyarham meninggal dunia jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun
di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi
jantung yang kritikal.
Allahyarham disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan
amanatnya sebelum ini yang mahu disemadikan di tempat beliau
menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.
1 orang berkata:
seperti di allepo suriah
Post a Comment