Datuk Mustafar Ali
Datuk Mustafar Ali
SHAH ALAM -  Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali menafikan telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung isu pembelian lori kompaktor  oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Menurutnya, kenyataan diterima media melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) itu bukan kenyataannya, malah di luar pengetahuan beliau.


“Saya tidak mahu komen lanjut. Apa yang saya mahu tekankan ialah saya tidak buat kenyataan mengenai perkara itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan SMS diterima media bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung pembelian lori kompaktor oleh Kerajaan Selangor yang dikaitkan dengan sebuah bas milik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepertimana yang dilaporkan oleh blog www.sel13.com minggu lalu.


Sementara itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan siasatan ke atas pembelian 50 lori kompaktor kutipan sampah bernilai RM14.5 juta oleh SPRM.


Abdul Khalid berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa siasatan SPRM adalah usaha bagi memastikan negara dan negeri bebas daripada rasuah.


“Boleh (siasat). Itu kerja SPRM, teruskanlah. Kerajaan Negeri menerima konsep keterbukaan dan tidak menghalang dan saya ingat keputusan itu ada dalam lembaga pengarah mereka.


“Perbincangan tender yang dibuat juga ada sebab ia sebahagian daripada tadbir urus korporat kami. Kita harus menerima hakikat bahawa kita akan diaudit dan dinilai,” katanya.


Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dan tiada sebarang masalah sekiranya SPRM ingin melaksanakan tanggungjawabnya.