R. Subramaniam
R. Subramaniam, 52, yang cedera ditembak sekumpulan penjenayah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) . - Foto Bernama
SHAH ALAM – Suspek terakhir iaitu lelaki berumur 30 tahun yang diburu berhubung kes tembak dua anggota polis baru-baru ini menyerah diri, awal pagi ini.

Suspek menyerah diri di Balai Polis Sri Petaling iaitu dua hari selepas rakannya berusia 17 tahun bertindak sedemikian, Isnin lalu.


Menurut sumber, lelaki itu merupakan adik kepada suspek berusia 32 tahun yang ditembak mati selepas melarikan diri di kawasan tempat letak kereta di Taman Desa Park, Ahad lalu.


Dalam kejadian 26 September lalu, Koperal R Subramaniam, 52, dan Lans Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera ditembak penjenayah di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (Mex) berdekatan Kuchai Lama.


Nor Azlan terkena tembakan di leher kanan manakala Subramaniam cedera di perut.


Mereka sempat melepaskan tiga das tembakan ke arah penjenayah dan dipercayai terkena tangki minyak kereta.


Tembakan menyebabkan berlaku kebocoran pada tangki petrol dan kereta itu terpaksa ditinggalkan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.


Remaja lelaki itu kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan.