Zed Zaidi
Zed Zaidi menjawab soalan Razak Mohaideen pada Wacana Sinar Siri ke-18 hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
SHAH ALAM - Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi berkata, segelintir artis yang menyertai parti, yang pada awalnya bertujuan untuk memperjuangkan Islam, sudah lari daripada landasan sebenar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator pada Wacana Sinar  Siri ke-18 bertajuk Artis Masuk Politik: Kredibiliti Atau Pancing Undi berhubung dakwaan kebanyakan artis tidak berani memberitahu secara terbuka menyokong pihak mana kerana takut tidak dapat mencari makan.

“Saya kurang setuju (artis takut tak dapat cari makan). Sesetengah artis yang menyertai pembangkang (tujuan asal) untuk memperjuangkan Islam, tapi bila dia dah masuk dalam memperjuangkan Islam itu, dia dah jadi lain.

“Sepatutnya, teruskan dengan Islam itulah. Tetapi ia dah jadi lain,” kata beliau pada wacana anjuran Sinar Harian, hari ini.

Wacana kali ini dikendalikan oleh Dekan Fakulti Teater dan Animasi UiTM, Prof Madya A Razak Mohaideen.

Beliau juga menyentuh soal tindakan artis yang berhijrah itu telah menghentam tindakan artis lain yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Walaupun sepatutnya, dia buat untuk Islam, di mana pihak kerajaan juga buat untuk Islam, pergi ke Gaza dan sebagainya yang melibatkan orang Islam, tapi mereka menghentam benda ini.

“Bagi saya, benda ini tidak baik untuk persepsi masyarakat terhadap artis itu sendiri. Sebab kalau boleh, artis itu sendiri kena tahu hujah, fakta, supaya dengan pendekatan agama Islam itu sendiri, membuatkan orang lebih sayang pada dia,” katanya.

Tambah beliau, “ini sepatutnya kita perlu pertahankan. Jadi, jangan tambah pandangan negatif masyarakat ke atas artis itu.”

Kenyataan beliau ini seakan merujuk kepada tindakan seorang artis perempuan yang menyelar beberapa artis tempatan apabila mereka menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Zed Zaidi juga menekankan keperluan artis yang menyertai politik itu berkualiti.

“... artis-artis yang menyertai politik ini perlu tahu tentang undang-undang, isu-isu semasa serta banyak perkara bukan saja dalam negeri, malah di luar negara.

“Kredibiliti itu perlu dengan pengetahuan yang tinggi dan kriteria tertentu, seperti ada ijazah, diploma dan sebagainya supaya kita melahirkan artis berpolitik yang mempunyai kredibiliti... yang berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak ketika dikatakan artis digunakan oleh parti politik tertentu untuk memancing undi.

“Bagi saya, artis zaman sekarang ini bukan untuk pancing undi tapi kerana kredibiliti. Artis sekarang dah mula bijak berhujah dengan fakta dan sebagainya. Ini merupakan satu anjakan paradigma dalam landskap industri seni dan juga politik.

“Di mana... saya nak minta maaf awal-awallah. Ahli politik ini kurang popular, kalau nak popular kena cipta kontroversi. Tapi kalau artis, dia dah popular, jadi, tak perlu kontroversi. Artis itu boleh mendapatkan kredibiliti,” katanya.

Beliau juga menyifatkan artis kini bukan saja penghibur tetapi sudah layak digelar pemimpin.
“Sebelum ini, artis dianggap sebagai penghibur tetapi sekarang mereka dianggap lebih daripada itu. Boleh menjadi seorang pemimpin.
“Apa salahnya kalau seorang artis itu diberi peluang untuk menjadi pemimpin, menjadi ahli parlimen, menjadi senator, Adun?” katanya.