Bekas OCPD: Tukar Kerajaan, Pulihkan Wibawa Polis
Malaysiakini
Kerajaan
sedia ada perlu ditukar jika rakyat benar-benar serius mahu
mengembalikan kewibawaan pasukan polis, kata seorang bekas pegawai kanan
polis, malam tadi.
Mantan ketua polis daerah Kota Kinabalu, Sabah
Mohd Yousoff Babjee berkata, pasukan polis kini menerima terlalu banyak
campur tangan politik sehingga mengganggu tugas-tugas mereka.
“Untuk memulihkannya saya rasa kita tukarlah kerajaan. Saya rasa jangan (ada) masuk campur tangan politik (dalam polis).
“Kalau
campur tangan politik jadi susah kita nak laksanakan (tugas). (Ada
arahan) Orang ini boleh tangkap, orang ini tak boleh tangkap. Orang ini
boleh tuduh, orang ini tak boleh tuduh,” kata dalam forum “Bicara
Kedaulatan dan Keselamatan Negara” di Kuala Lumpur malam tadi.
Forum
melibatkan 700 peserta itu dimudah cara oleh Pengarah Strategi PKR
Rafizi Ramli dan dianjurkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida
Kamaruddin.
Sementara itu, beliau turut menyatakan rasa kesalnya
dengan pasukan polis yang kini dilihat bersikap pilih kasih dalam
menjalankan tanggung jawab mereka.
‘Kenapa bacul bertindak?’
Menurutnya,
polis dilengkapi latihan secukupnya namun menjadi bacul kerana
“menerima arahan” sehingga gagal bertindak terhadap keganasan pada
ceramah politik dan serangan terhadap ibu pejabat parti politik.
“Saya
tertanya-tanya kenapa polis tidak bertindak. Siapa yang bagi arahan?
Ini satu perkara yang tidak adil, dan pasukan polis terbawa-bawa
(kepatuhan menerima arahan) seperti pejabat PKR yang dibaling batu,
telur dan sebagainya.
“Balai polis sebelah sahaja (tetapi) saya
malulah (mereka tidak bertindak). Mesti ada satu arahan kalau tidak
mereka tak akan begitu. Mereka ini ada latihan dan ada pelajaran.
“Kenapa boleh jadi sedemikian sehingga mereka ini bacul hendak ambil tindakan?” katanya.
Menurutnya
lagi, keberkesanan polis membanteras jenayah juga sepatutnya diukur
daripada persepsi orang ramai terhadap tahap keselamatan mereka, dan
bukan berdasarkan statistik yang dikeluarkan kerajaan.
“Kejayaannya
(pengurangan kadar jenayah) sepatutnya dirasai masyarakat sendiri sama
ada kita , anak-anak kita dan keluarga kita berasa selamat atau pun
tidak.
“Kalau kita ada perasaan selamat, barulah polis itu berjaya, bukan polis yang cakap,” katanya.
Dua
hari lalu, Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) Jabatan
Perdana Menteri dalam laporannya mengumumkan kadar jenayah berjaya
diturunkan sebanyak 27 peratus dalam masa tiga tahun Program
Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan.
‘Tentang Komunis, bawa batalion ke Namibia’
Laporan sama juga menyatakan persepsi pengurangan jenayah semakin meningkat walau pun sesetengah rakyat mendakwa sebaliknya.
Menurut
Yousoff, perasaan selamat masyarakat terhadap persekitaran mereka
sebenarnya tidak banyak berubah di antara dahulu dan sekarang.
Sebaliknya, masyarakat kini kurang yakin dengan keupayaan polis mengurangkan kadar jenayah.
“Perasaan selamat dahulu dan sekarang tak banyak beza.
“Hanya kepercayaan terhadap polis (yang berbeza), sama ada kita yakin (terhadap) mereka atau pun tidak,” katanya.
Seorang
lagi ahli panel, mantan timbalan panglima angkatan tentera, Leftenan
Jeneral (B) Datuk Abdul Ghaffir Abdul Hamid membidas kenyataan pihak
yang mempertikai kritikan beliau terhadap cara kerajaan menangani
pencerobohan Lahad Datu.
“Semasa saya menjadi pegawai pemerintah, saya berkhidmat menentang pengganas komunis di kawasan hutan Perak.
“Paling
istimewa sekali, saya membawa satu batalion tentera ke Namibia,” kata
Ghaffir merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi yang dilapor menolak kritikannya atas alasan beliau sendiri tiada
pengalaman berperang.
Ghaffir sebelum ini berkata pencerobohan Sulu boleh ditamatkan lebih awal jika terdapat arahan jelas dari kerajaan.
0 orang berkata:
Post a Comment