Bapa
Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk
seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat
II.
"Datuk
Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini,"
kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu
sidang akhbar hari ini.
"Dengan
ini saya memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili
beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat
fitnah ini," tambahnya
Anwar
telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun
lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada
26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.
Dalam
kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang
dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan
disediakan pegawai perdana menteri itu dan seorang peguam.
Malaysiakini tidak menyiarkan identiti kedua-duanya sementara menunggu respons daripada mereka."Mereka
inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan
terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."
Menurut
Azlan, beliau mengetahui mengenai hal anaknya terlibat dan dituduh cuma
melalui akhbar milik kerajaan kerana anaknya tidak langsung pernah
menceritakan tentang kejadian dan pertuduhan tersebut kepadanya.
"Saya
tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan
dari saya sebagai bapa dari awal hingga tamat perbicaraan," dakwanya.
walaupun beliau sentiasa dilihat berdamping dan bersama dengan anaknya, Azlan menjelaskan bahawa beliau melakukannya
semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anaknya.
"Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar."
Azlan
berkata, beliau memutuskan untuk membuat pendedahan ini kerana setelah
sekian lama mengumpul maklumat sama ada semasa dalam perbicaraan,
mahupun yang dikirim kepadanya oleh orang ramai, "saya dapati kebenaran
mula terserlah dan jelas kelihatan."
Pihak pemerintah, katanya, langsung tidak pernah menemuinya untuk berbincang kes itu atau bertanya pendapatnya.
"Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh (pegawai berkenaan)," dakwa Azlan.
"Sebagai
seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat ini.
Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat ini. Saya mahu
rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka.
"Jika
niat jahat ini berterusan, bukan sahaja umat Melayu dan Islam hancur
tetapi negara musnah. Saya tidak sanggup melihat ini terjadi.
"Saya
mengambil keputusan untuk bersama Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan
rakyat Malaysia yang dahagakan kemakmuran dan keamanan bercakap benar
dan menentang kejahatan ini," katanya.
Azlan
merayu kepada seluruh rakyat negara ini "bangun bersatu menentang
kezaliman ini dan bekerja keras agar kebenaran akan muncul".
"Marilah kita juga doakan agar Allah menangkan perjuangan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih
pemerintahan negara dalam Pilihan Raya ke-13 nanti," katanya.
- malaysiakini
1 orang berkata:
ayoyo berapa juta ANUwar bapak peliwat sudah kasi sama orang tua ni...ayoyoooooooo. Ini mesti mau tutup itu kes lahat datu...ayoyoooo
Post a Comment