06 Januari, 2014
Anwar Bidas Kegopohan JAIS Dan DAP
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serbuan Jabatan
Agama Islam Selangor (Jais) terhadap premis Persatuan Bible Malaysia
(BSM), Jumaat lalu sebagai tindakan gopoh kerana ia telah mencetuskan
ketengangan antara agama di negara ini.
Menurut Anwar, tindakan itu bukan sahaja mengundang persepsi negatif
orang bukan Islam terhadap Islam bahkan mendapat kecaman pelbagai pihak
khususnya penganut Kristian.
Beliau menegaskan Jais sepatutnya mengadakan pertemuan dengan pihak
gereja terbabit dan membuat siasatan sebelum menyerbu premis dan
merampas Bible mereka.
"Kalau ia dianggap melanggar undang-undang, maka Jais patut panggil
orang yang bertanggungjawab itu untuk memberikan penjelasan ataupun
siasatan.
"Tak payah ambil tindakan yang menimbulkan reaksi dan ketegangan antara
agama," katanya selepas memberikan syarahan di Centre For Reform, di
sini, hari ini.
Anwar juga tidak bersetuju dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Selangor dari DAP yang turut mengeluarkan kenyataan gopoh
bersabit perkara itu.
"Saya juga tidak setuju dengan usul yang dikemukakan Adun DAP, sementara
kita tidak setuju dengan tindakan gopoh, kita juga jangan beri
pandangan gopoh.
"Jangan gopoh minta pindaan dan sebagainya kerana ada saluran, kita kena
bincang, kerajaan negeri pula kerajaan Pakatan Rakyat," katanya lagi.
Khamis lalu, penguat kuasa Jais menyerbu dan merampas 351 salinan
naskhah Bible versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban yang dipercayai
mengandungi kalimah ALLAH daripada BSM, di Jalan Gasing, Petaling Jaya. ~sh



0 orang berkata:
Post a Comment