12 Januari, 2014
Ketika Umno Berjoli, PAS Potong 20% Elaun Adunnya
Ketika pimpinan Umno di peringkat pusat terus dengan acara mewah mereka,
kerajaan Kelantan akan terus mengekalkan dasar pemotongan elaun 20%
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS untuk dikumpulkan sebagai
dana khas bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata langkah itu diambil bagi
membantu golongan berpendapatan rendah yang berhadapan dengan krisis
kenaikan harga barang.
Beliau berkata, dana yang dikumpulkan itu akan disalurkan mengikut
keperluan dalam program khidmat masyarakat dan tidak akan digunakan
untuk menjalankan program parti.
"Kita tidak akan mengambil walaupun satu sen wang yang dipotong daripada
elaun wakil rakyat untuk kegiatan parti kerana sudah diamanah
dibelanjakan bagi kepentingan rakyat. Bagi urusan kepartian wakil rakyat
sendiri perlu mencari sumber kewangan yang lain.
"Dasar pemotongan elaun yang dilaksanakan di bawah pimpinan Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat akan terus kita kekalkan," katanya kepada pemberita
ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Pusat Kaunseling Baitul
Rahmat di Kelantan, lapor Utusan Malaysia semalam.
Baitul Rahmat menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya kaunseling
individu, kelompok dan rumah tangga dan memberi perkhidmatan rawatan
tradisional secara Islam.
Ahmad berkata, pengurusan kerajaan negeri memusatkan perhatian yang
serius terhadap langkah berkesan membendung pembaziran wang dan fenomena
kenaikan harga barangan keperluan.
"Kenaikan harga barangan dan kes jenayah adalah cabaran utama
kepemimpinan kerajaan negeri yang perlu ditangani secara bersama demi
kesejahteraan sejagat.
"Saya akui kesukaran dan kepayahan terpaksa ditempuh dengan tabah kerana
kerajaan negeri tidak memiliki sumber kewangan yang banyak.
"Langkah saya menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tempoh
hari adalah bertujuan membela hak rakyat daripada aspek kebajikan,"
katanya.
Katanya, jika ada masalah yang berkaitan dan perlu penyelesaian,
kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan mencapai kata putus untuk
diselesaikan secara bersama melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
dan Ketua Setiausaha Negara. ~tmi


0 orang berkata:
Post a Comment