Arak: Jakim nafi beri logo halal
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini
menafikan memberi perakuan dan sijil logo halal kepada produk atau
syarikat yang mengeluarkan minuman keras.
Pengarah Hab Halal jabatan itu Hakimah Mohd Yusoff berkata Jakim telah
membuat laporan polis di Balai Polis Putrajaya hari ini berhubung
perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas
maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan gambar
tin minuman bir tertera logo halal yang disebar melalui media sosial
Facebook dan aplikasi Whatsapp.
"Jakim dengan ini menegaskan bahawa jabatan ini tidak pernah memberi
dan mengeluarkan perakuan serta sijil atau logo halal kepada produk atau
syarikat itu.
Bahkan produk lain yang turut dikilangkan di kilang yang sama turut
tidak diberikan sijil halal walaupun ia bukan minuman keras," katanya.
Beliau berkata sebarang penyalahgunaan logo halal oleh mana-mana pihak
boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan - Perintah Perihal
Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011).
"Jakim menganggap penyebaran gambar minuman tin berkenaan sebagai
berniat jahat dan cuba menjatuhkan imej serta kredibiliti Jakim sebagai
sebuah badan pensijilan halal Malaysia yang berwibawa dan diiktiraf di
dalam dan luar negara," kata Hakimah.
Beliau berkata penyebaran gambar itu boleh menimbulkan tanggapan negatif kepada Jakim dan boleh menyentuh sensitivi agama.
"Justeru itu, Jakim mengecam tindakan memalsukan logo halal itu, sama
ada secara sengaja atau tujuan prokosi kerana perkara ini boleh
merosakkan kredibiliti Malaysia sebagai peneraju pensijilian halal dunia
dan boleh mencetuskan polemik di kalangan masyarakat," katanya.
Beliau berharap pengguna tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu
di laman sosial yang sengaja dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab
dan menghentikan penyebaran perkara sedemikian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid
ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment