• Dr Mohamed Mustafa Ishak
1 / 1
ALOR SETAR - Peningkatan kos sara hidup yang berlaku akhir-akhir ini menjadi cabaran besar kepada kerajaan bagi mewujudkan keseimbangan kepada pendapatan rakyat.

Di samping itu, langkah betul dan wajar perlu bagi memastikan pengaruh dan kekuasaan politik pentadbiran BN kekal di peringkat pusat dan negeri.


Penganalisis politik yang juga Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN),  Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, kenaikan kos sara hidup rakyat akan memberi kesan menyeluruh.


Beliau berkata, dari segi pengaruh politik, masih terlalu awal untuk mentafsir kesan negatif terhadap kerajaan.


Sebaliknya, kerajaan masih mempunyai banyak masa bagi melaksanakan penstrukturan dan keseimbangan kos sara hidup dan pendapatan rakyat.


"Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan kenaikan kos sara hidup tidak berlaku secara berterusan sehingga rakyat terbeban sekaligus memberi kesan politik.


"Apa yang penting, sejauh mana kerajaan berjaya menangani isu ini dengan melaksanakan transformasi ke arah menjana ekonomi masyarakat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Justeru, kerajaan perlu mengawal kenaikan kos perkhidmatan dan harga barang sehinga boleh mewujudkan keadaan yang lebih buruk.


Ia penting bagi menjamin survival politik kerajaan dalam jangka masa menuju pilihan raya umum akan datang.


"Ini cabaran kepada kerajaan untuk memastikan perkembangan ekonomi yang memberi ruang kepada rakyat meningkatkan pendapatan seperti membuka peluang pekerjaan dan mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan.


"Jika peningkatan ekonomi rakyat berjaya dilakukan, keseimbangan dengan kos sara hidup akan berlaku," katanya yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).