• Tun Musa Hitam Tun Musa Hitam
1 / 1
MARAN - Kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan mana-mana pihak untuk menghidupkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Beliau berkata, sebarang keputusan memperkenalkan kembali ISA hanya akan memberikan implikasi negatif terhadap kerajaan sekarang.

“Isunya sekarang bukan undang-undang atau akta tertentu yang perlu diperkenalkan atau dilaksanakan... tapi, isu sebenar ialah kaedah kita dalam melaksanakan atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

“Sebenarnya, kita (Malaysia) sudah mencapai tahap kemajuan tersendiri apabila kerajaan mengumumkan keputusan memansuhkan ISA... jadi, apa keperluan untuk membawa balik ISA?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Dialog dan Ramah Mesra Bersama Pelajar-pelajar Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) tajaan Yayasan Sime Darby di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai ISA, Musa berkata, sebarang usaha memperkenalkan kembali ISA bakal memberi gambaran bahawa kerajaan sekarang tidak mempunyai keyakinan dalam mempertahankan keputusan dibuat sebelum ini.