• Pusat judi online bersepah di Lembah Klang  
  • Keadaan premis menjadi sarang judi online. Gambar kecil, Rosliza.
1 / 1
SHAH ALAM - Selain Kuala Lumpur, kawasan lain sekitar Lembah Klang  dikenal pasti menjadi sarang pusat judi online turut melibatkan kawasan perumahan dan perniagaan di Ampang, Puchong, Selayang, Sungai Buloh dan Petaling Jaya.

Malah segelintir pengusaha premis judi online  berkenaan, didapati menyalahgunakan lesen yang diberi dan menjalankan aktiviti tersebut secara haram.


Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Rosliza Mohd berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan haram itu.


“Modus operandi kegiatan sindiket berkenaan cukup mudah, sindiket berkenaan akan menyewa sebuah premis untuk menjalankan aktiviti perjudian," katanya.


Rosliza berkata, selain menggunakan kamera litar tertutup (CCTV),  premis perjudian turut menggunakan 'pintu magnetik' yang mana pelanggan tetap dibekalkan dengan kod nombor tertentu untuk membuka pintu berkenaan.


“Kita terpaksa menyamar sebagai pelanggan tetap untuk mendapatkan kod tersebut, sebelum serbuan dilakukan.


“Difahamkan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri juga sedang merangka undang-undang baru iaitu Enakmen Pusat Siber (Selangor) 2014 bagi meningkatkan lagi denda bagi kesalahan itu,” katanya.


Menurutnya, sebanyak 115 sitaan dan 178 kompaun dikeluarkan pada tahun lalu terhadap pemilik premis terbabit.


“Pada 2012, kita melakukan sebanyak 187 sitaan dan sebanyak 344 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik yang dipercayai melakukan aktiviti haram itu,” katanya.