11/01/15
Sepatutnya tak wujud kerajaan BN, PR kata Pas
SHAH ALAM –
‘Sepatutnya tidak wujud kerajaan BN atau kerajaan PR,’demikian reaksi
Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung
kerjasama yang terjalin baru-baru ini antara kerajaan Persekutuan dengan
kerajaan negeri Kelantan.
Menurutnya, sebaik pilihan raya selesai
dan mandat diberikan kepada mana-mana parti, kerajaan tersebut perlu
berkhidmat kepada rakyat mengikut tanggungjawab masing-masing dengan
mengetepikan soal perbezaan ideologi.
Jelasnya, ia bagi memastikan semua pihak mendapat hak yang sewajarnya tanpa ada yang disisihkan.
“Pada pemahaman saya, sepatutnya tidak wujud kerajaan BN ataupun kerajaan PR...kerajaan Pas.
“Sepatutnya peranan kerajaan Pusat dan
kerajaan negeri harus berteraskan kepada Perlembagaan kita. Dalam
Perlembagaan, ada jadual negeri dan ada jadual Persekutuan.
“Dengan kata lain, hak-hak kerajaan
negeri walau siapa pun jadi pemerintah, harus dijamin. Begitu juga hak
kerajaan Pusat di peringkat negeri,” .
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota
Bharu itu berpendapat, sekiranya semua kerajaan diberi layanan yang sama
oleh kerajaan Persekutuan meskipun berbeza parti, ia akan memberi
manfaat bukan saja kepada rakyat malah kepada kerajaan Persekutuan.
“Kalau kerajaan negeri yang dipimpin
oleh mana-mana parti pun diberi layanan yang sama oleh kerajaan Pusat
yang mungkin dipimpin oleh parti yang berbeza, itu memberi manfaat
kepada rakyat.
“Mungkin juga kalau kerajaan Pusat
memberi layanan yang baik kepada kerajaan negeri walaupun parti yang
berbeza, itu akan memberi satu kredit kepada kerajaan Pusat untuk
dipilih di peringkat negeri pada pilihan raya berikutnya,” katanya.
Tambahnya lagi, hanya tiga kerajaan yang
sepatutnya wujud selepas pilihan raya iaitu kerajaan Persekutuan,
kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
“Tapi, apa yang berlaku sekarang ini, kita lebih nampaknya macam kerajaan ini mengikut parti. Sepatutnya tidak berlaku begitu.
“Untuk memberi manfaat kepada rakyat, tidak semestinya gabungan Pas dan Umno itu satu-satunya pilihan yang ada,”katanya.
Malah katanya, kerjasama antara Pas
dengan Umno bagi membantu rakyat di Kelantan setelah sekian lama tidak
sehaluan memang sukar dilalui.
“Bagi saya, untuk menggabungkan atau kerjasama yang dikatakan Pas dengan Umno ini bukan satu perkara yang mudah.
“Tapi pada saya, perpaduan itu satu
benda yang baik kalau boleh berlaku. Ia amat sukar. Perlu dibincang,
diteliti dan dilihat dalam aspek yang boleh diterima oleh semua pihak.
Itu benda baik tapi realitinya bukan mudah,” katanya.-SH
0 orang berkata:
Post a Comment