• Anwar Ibrahim - Saiful Bukhari Azlan Anwar Ibrahim - Saiful Bukhari Azlan
1 / 1
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan notis kepada pihak pendakwaan dan pembelaan tidak lama lagi berhubung tarikh keputusan mahkamah tertinggi itu berhubung rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Katanya beliau tidak dapat menyatakan bila notis itu akan dikeluarkan tetapi menyatakan ia (notis) akan dikeluarkan dua minggu sebelum tarikh penghakiman.

"Kami akan mengeluarkan notis dua minggu sebelumnya dan bukannya dua minggu dari hari ini. Inilah sahaja yang dapat saya beritahu anda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tahun Undang-Undang 2015 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada notis itu akan dikeluarkan sebelum Tahun Baharu Cina, beliau enggan mengulas dan hanya berkata mahkamah masih berada dalam tempoh tiga bulan iaitu amalan standard yang ditetapkan untuk menyiapkan penghakiman itu.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya berhubung rayuan Penasihat PKR itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama seminggu pada November tahun lepas.

Arifin mempengerusikan panel lima hakim bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md  Raus Sharif dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali mendengar rayuan itu.

Pihak pendakwaan turut mengemukakan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara Anwar. Bagaimanapun perkara itu hanya akan didengar sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Pada 9 Jan, 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan itu atas alasan mahkamah tidak mempunyai keyakinan 100 peratus terhadap integriti sampel yang diambil daripada mangsa untuk ujian DNA.

Mahkamah memutuskan bahawa sampel itu mungkin telah diusik sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan dalam mensabitkan Anwar terhadap pertuduhan liwat itu, memutuskan hakim telah terkhilaf dalam dapatannya berhubung sampel itu yang dibuat berdasarkan keterangan dua pakar yang merupakan saksi pihak pembelaan. - Bernama