• Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengadakan sidang media hari ini - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengadakan sidang media hari ini - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
SHAH ALAM – [VIDEO]  Penerbit Sinar Harian,  Datuk Dr Hussamuddin Yaacub sebelum ini pernah menyuarakan pandangan supaya kedua-dua parti Pas dan Umno di Kelantan bergabung bagi menyelesaikan masalah rakyat akibat banjir.

Bertitik tolak daripada cadangan itu, Sinar Harian menerima pelbagai reaksi dan maklum balas dari banyak pihak berhubung idea yang dikemukakan.

Tampil menangkis semua tanggapan negatif yang dilempar kepada Sinar Harian, Hussamuddin sekali lagi menegaskan, kenyataan beliau bukan kerana ingin berpolitik sebaliknya atas dasar kepentingan rakyat khususnya yang berada di Kelantan.

“Saya buat kenyataan sebagai seorang rakyat Kelantan kepada pemimpinnya. Seperti yang kita semua lihat, banjir di Kelantan menyebabkan negeri itu mengalami kerugian yang besar dan kerosakan yang terjadi di negeri itu amat teruk.

“Saya rasa jika pemimpin di kerajaan negeri Kelantan masih bergaduh, Kelantan tidak boleh dipulihkan,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bersatulah Pas, Umno demi rakyat! ]

Dalam pada itu, beliau turut menggesa ahli politik menghentikan polemik politik masing-masing demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri Kelantan.

“Kalau semua pemimpin turun tengok banjir, siapa nak urus negeri? Pemimpin perlu balik ke pejabat masing-masing dan fikir perancangan untuk uruskan negeri. Serahkan semua tugas penyaluran bantuan dan makanan kepada petugas-petugas yang ditugaskan untuk misi bantuan mangsa banjir. 

“Mungkin pemimpin sudah mula merancang, tetapi perancangan tanpa pelaksanaan memang akan gagal,” tegasnya.

Usul penggabungan kerajaan antara Pas Kelantan dan Umno Kelantan diterbitkan sebagai muka depan akhbar Sinar Harian kelmarin.

Hussamuddin dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian menyifatkan hanya itu jalan yang ada untuk memastikan kelancaran usaha membina semula negeri yang seakan sudah menjadi 'ground zero' setelah dilanda banjir paling dahsyat kali ini.

Bagi Hussamuddin, inilah masanya untuk mereka membuktikan keikhlasan bahawa perjuangan mereka berpaksikan rakyat, bukan kepentingan diri. Inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesanggupan untuk berkorban demi rakyat.

Katanya, seperti yang dipetik menerusi temu bual tersebut, rakyat akan terus sengsara di tengah-tengah pertelagahan dua kuasa sedangkan mereka amat memerlukan pembelaan.

“Saya bukan cuba jual Sinar Harian (akhbar). Tuduhan cuba jual Sinar Harian itu tidak betul. Saya hanya memberikan idea saya. Malangnya saranan saya dipolitikkan.

“Malah, saya dijadikan kambing hitam bagi sesetengah pihak untuk alih perhatian,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak untuk membaca dan meneliti semula kenyataannya yang diterbitkan menerusi akhbar cetak Sinar Harian kelmarin sebelum memberikan pandangan masing-masing.

“Kalau semua pihak baca kenyataan saya dengan mendalam, mungkin mereka akan faham. Jadi saya minta mereka baca semula petikan artikel itu satu persatu dan baca sampai habis.
“Jangan baca sikit-sikit dan mula buat kesimpulan masing-masing,” ujarnya lagi.