• Ustaz Haslin Baharim
1 / 1
SHAH ALAM - Gadis-gadis Muslim yang terlibat dalam isu berkelakuan kurang menyenangkan bersama artis K-Pop baru-baru ini dinasihatkan agar tampil dan menjelaskan perbuatan mereka kepada pihak berkuasa.

Pendakwah terkenal, Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood berkata, kelakuan di luar batas anak-anak gadis itu mungkin akibat didorong keterujaan terlampau sehingga menyebabkan mereka terlupa diri.

“Memanglah apa yang dibuat oleh mereka itu kelakuan yang tidak sopan dan tidak berakhlak. Mungkin sebab terlalu minat sangat dengan K-Pop hingga menyebabkan mereka terlupa siapa diri mereka yang sebenar.

“Nasihat saya kepada mereka yang terlibat ini, tampilkanlah diri dan jelaskan. Kalau kita berani buat, kena berani hadapi risikonya. Saya percaya Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) mungkin tak akan kenakan tindakan mahkamah. Cuma nak melihat  apa tujuan mereka buat begitu (aksi atas pentas) sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Meskipun perbuatan anak-anak gadis itu tidak berakhlak namun, beliau berpendapat, tindakan mencela dan mencemuh terhadap mereka juga bukan tindakan yang sewajarnya dilakukan.

“Setelah berlaku kes itu, saya yakin ramailah orang yang mencela dan sebagainya. Cercaan dan cemuhan yang tidak mendatangkan manfaat kepada sasaran akan menyebabkan pertama, mungkin malu dan kedua, mereka makin menjauhkan diri daripada agama yang sebenar.

“Dari segi dakwah ini, kalau orang buat jahat dan kita terus tengking dia, mungkin dia akan meneruskan kejahatannya. Bukan maksud saya nak sokong tindakan anak gadis itu...saya turut nasihatkan agar mereka kembali kepada jalan ALLAH dan  insafilah perbuatan itu.

“Kepada pembaca, penonton yang prihatin, hentikanlah cemuhan dan cacian malah doakan mereka. Manalah tahu, dengan apa yang berlaku akan menyedarkan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan pandangan kepada pihak berkuasa Jawi agar tidak mengenakan tindakan mahkamah kepada anak-anak gadis yang terlibat.

“Memang kita tak nafikan ada enakmen jenayah syariah negeri yang menyatakan berpeluk, berkelakuan tidak sopan itu boleh dikenakan tindakan mahkamah tapi pada saya, memberi kaunseling kepada mereka sudah memadai.

“Bukan saya nak memandai-mandai tapi pada saya, kalau boleh biar mereka diberikan rawatan psikologi atau kaunseling. Pulihkan kembali...bina kembali mereka ini dengan nasihat dan pandangan bukan dengan hukuman.

“Panggil mak ayah mereka sekali. Sebab anak-anak ini berkelakuan begini kerana mak ayah kurang pantau dan masalah kawan-kawan yang menjadikan mereka begitu. Mesti ada faktor, tak mungkin jadi sendiri. Tak mungkin dia seorang naik atas pentas dan pergi peluk artis itu. Mesti ramai yang buat begitu,” katanya.

Ketika diminta mengulas soal aksi-aksi tidak sepatutnya dalam filem dan majlis-majlis, beliau berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya memilih bulu dalam mengambil tindakan.

“Ya. Betul. Saya tak nafikan. Sepatutnya pihak berkuasa ambil tindakan tanpa memilih bulu. Isu yang berlaku sekarang ini telah memberikan satu tohmahan kepada pihak berkuasa agama. Kenapa hanya budak-budak mentah ini yang ghairah dengan hiburan-hiburan ini saja diambil tindakan?

“Contohnya, artis dengan artis berpelukan selepas menang anugerah dan sebagainya...itu sepatutnya antara aksi memalukan di khalayak ramai yang perlu diambil tindakan. Sepatutnya kita sebagai orang dewasa kita boleh fikir balik,” katanya.