Hina Sultan: Denda RM50,000 kekal
PUTRAJAYA - Jurutera yang disabitkan kesalahan memuat naik komen
menghina Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah di internet, terlepas
daripada hukuman penjara selama setahun selepas hukuman itu diketepikan
oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat,
bagaimanapun mengekalkan sabitan Chan Hong Keong dan juga mengekalkan
hukuman denda maksimum RM50,000 terhadapnya yang diputuskan Mahkamah
Sesyen di Butterworth.
Hong Keong, 32, membayar denda itu. Dia diikat jamin RM40,000, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Panel hakim itu yang turut dianggotai Datuk Mohd Zawawi Salleh dan
Datuk Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan Hong Keong terhadap
sabitannya tetapi membenarkan rayuannya untuk mengetepikan hukuman
penjara.
Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata Hong Keong merupakan individu
yang telah memuat naik komen menghina itu dan mahkamah berpuas hati
bahawa sabitannya adalah kukuh.
Beliau berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan telah diberi peluang
untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi dan dengan itu tidak wujud
ketidakadilan dari segi prosedur.
Tengku Maimun berkata, walaupun kesalahan dilakukan Hong Keong adalah
serius, namun mahkamah berpandangan bahawa hukuman penjara patut
diketepikan, berdasarkan trend kes serupa iaitu orang kena tuduh hanya
didenda.
Beliau berkata denda RM50,000 adalah hukuman yang memadai dan wajar.
Pada 1 Jun, 2012, Mahkamah Sesyen mendapati Hong Keong bersalah
terhadap pertuduhan memuat naik komen yang menghina Almarhum Sultan
Azlan Shah di laman web http://books.dreambooks.com/duli/duli.html dan
telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000.
Beliau didapati bersalah melakukan kesalahan itu di rumahnya di
Permatang Pauh, Seberang Prai pada 12.05 pagi, 13 Februari, 2009.
Pada 14 Februari tahun lepas, Hong Keong gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Hong Keong diwakili peguam Ram Karpal Singh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment