• Ismail Sabri Ismail Sabri
1 / 1
PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sebagai tidak logik alasan yang diberikan iaitu oleh kerana banjir, ikan dan sayur mengalami kekurangan bekalan, maka harganya terpaksa dinaikkan.

Beliau berkata, bekalan sayur adalah mencukupi kerana negeri di pantai timur yang terjejas banjir bukan merupakan pengeluar utama sayur negara.

"Negeri pengeluar sayur ialah Selangor, Perak dan Johor yang menyumbang antara 60 hingga 70 peratus daripada pengeluaran sayur negara. Di Perak pun bukan semua kawasan dinaiki banjir.

"Sementara ikan pula, selain banjir, nelayan memang tidak turun ke laut semasa musim tengkujuh pada bulan Disember. Manakala nelayan di pantai barat masih menangkap ikan," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan kenaikan mendadak harga ikan dan sayur di seluruh negara sejak minggu lepas yang dikatakan berpunca daripada kekurangan bekalan akibat banjir.

Sehubungan itu Ismail Sabri menggalakkan pengguna membeli sayur dan ikan yang dijual pada harga murah di 556 pasar tani di seluruh negara bagi memberi tekanan kepada pemborong dan peniaga untuk menurunkan harga.

"Kementerian telah membuat persediaan awal setiap hujung tahun dengan mengharamkan eksport ikan pilihan rakyat seperti kembong dan selar ke luar negara sejak Oktober lepas, untuk dibeli oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan disejuk bekukan.

"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga mengimport 20 peratus daripada bekalan sayur dalam negara untuk dijual di pasar tani," katanya.

Beliau turut melancarkan misi sukarelawan pasca banjir Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke negeri terjejas banjir bagi menjalankan kerja pembersihan.

Sebanyak 2,900 sukarelawan digerakkan dalam misi itu sebagai tambahan kepada 2,100 sukarelawan yang digerakkan sejak banjir berlaku. - Bernama