• Kerugian sebenar akibat sukar dinilai
1 / 1
BERA - Sukar untuk menilai kerugian sebenar yang dialami sektor pertanian, perikanan dan penternakan kerana masih belum mendapat gambaran sebenar setakat ini.

"Masih banyak kawasan yang masih ditenggelami air. Ramai penduduk yang tak balik lagi.

"Namun arahan telah dikeluarkan kepada semua pegawai di peringkat daerah untuk mendapatkan butiran lengkap membabitkan semua kerugian yang dialami.

"Kita akan terus membuat bancian selepas banjir surut, " kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mempengerusikan mesyuarat pasca banjir bagi Parlimen Bera, hari ini.

Menurutnya, pada tahun lalu MOA telahpun menubuhkan  Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bernilai  RM50 juta bagi membantu petani, penternak nelayan dan usahawan industri asas tani yang mengalami kerugian disebabkan bencana.

"Bagaimanapun dalam suasana bencana banjir yang berlaku pada hari ini RM50 juta tidak lagi mencukupi. Kita akan cuba dapatkan secepat mungkin peruntukan tambahan selepas semua kerugian dinilai di seluruh negara," katanya.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua kementerian dan agensi menilai segera segala kerosakan yang dialami diseluruh negara.

Ismail Sabri menambah, antara bantuan yang diberi didalam tabung ini ialah berupa kewangan, benih ikan dan lain lain.

Manakala Tekun dan Agrobank telah diminta untuk menstrukturkan semula pembayaran pinjaman bagi mereka terbabit dengan banjir.

Tekun secara khusus akan memberi pinjaman mudah bernilai RM10,000 kepada peminjam terbabit dengan banjir.

Menjawab soalan, Ismail berkata pengeluaran makanan negara mungkin terjejas kerana banjir

"Kita kena akui dalam keadaan banjir yang begitu besar tentu sahaja sedikit sebanyak menjejaskan pengeluaran makanan.

"Bagaimanapun, kita akan memastikan negara dan rakyat tidak akan hadapi masalah bekalan makanan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan  (Fama) telahpun diarahkan mengimport sayur, manakala Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) diarahkan untuk mengimport ikan dan menghentikan eksport.

"Kita bersiap sedia. Untuk pengetahuan Fama dan Nekmat telahpun memulakan import untuk bahan bahan tersebut. Stok yang ada dijangka boleh bertahan sehingga 3 bulan," kata Ismail.

Pada masa yang sama, MOA melalui Fama akan mengadakan pasar tani istimewa di seluruh negara bagi membantu mangsa pasca banjir.

"Kita akan umumkan harga istimewa untuk produk yang dijual di pasar tani minggu depan," katanya lagi.