• Banjir
1 / 1
KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di Perak pada 8 pagi ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding malam tadi, sementara di Kelantan masih kekal seperti yang dilaporkan sebelum ini.
 
Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 867 orang berbanding 817 orang malam tadi manakala di Kelantan pula 520 orang.
 
Keadaan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 1,387 orang berbanding malam tadi iaitu 1,337 orang.
 
Di PERAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata jumlah mangsa di Perak Tengah adalah 689 orang, Hilir Perak (144) dan Hulu Perak (34).
 
Sebanyak lapan pusat pemindahan menempatkan 238 keluarga dibuka di tiga daerah berkenaan.
 
Di KELANTAN, jurucakap MKN Kelantan berkata sehingga pukul 8 pagi, 490 mangsa melibatkan 109 keluarga masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan di Kuala Krai.
 
Di Machang, 30 orang melibatkan lapan keluarga masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Temangan.
 
Walaupun banjir di jajahan berkenaan surut, namun mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan memandangkan mereka kehilangan rumah akibat banjir bulan lepas.
 
Kerajaan sedang membina kediaman sementara untuk mereka diami dalam tempoh terdekat.
 
Sementara itu, keadaan cuaca di Kelantan pada pagi ini dilaporkan cerah. - Bernama