• Banjir
1 / 1
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Perak masih belum reda apabila jumlah mangsa terus meningkat setakat petang ini manakala keadaan di tiga negeri pantai timur Semenanjung semakin pulih.

Di PERAK, mangsa banjir di kawasan Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian dan Manjung meningkat kepada 7,412 orang daripada 2,018 keluarga berbanding 7,360 orang daripada 1,998 keluarga, tengah hari tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, jumlah mangsa yang paling ramai dipindahkan di Perak Tengah yang kini mencecah 5,247 orang dan ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

Di daerah Hulu Perak, jumlah mangsa bertambah kepada 764 orang di Kuala Kangsar (1,210 orang), Kerian (107 orang) dan Manjung (84 orang).

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah mangsa banjir sehingga 5 petang ini berjumlah 45,366 orang, berbanding 48,960 orang pada tengah hari tadi.

Katanya kesemua mereka ditempatkan di 215 buah pusat pemindahan di lapan daerah dengan Temerloh mencatatkan mangsa seramai 20,962 orang, Pekan (11,220 orang), Jerantut (4,563 orang), Bera (3,228 orang), Maran (2,562 orang), Lipis (1,641  orang), Kuantan (1,085 orang) dan Rompin (105 orang).

Di TERENGGANU, sejumlah 8,664 mangsa masih berada di pusat pemindahan sehingga petang ini berbanding 8,996 orang pada tengah hari tadi, menurut MKN Terengganu.

Daripada jumlah itu 4,289 orang di Dungun, Kemaman (4,238 orang) dan Kuala Terengganu (137 orang). Jumlah pusat operasi menurun kepada 18 apabila empat pusat pemindahan ditutup setakat petang ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa di pusat pemindahan terus menurun kepada 42,163 orang berbanding 44,081 orang tengah hari tadi.

Menurut MKN Kelantan, setakat ini Tanah Merah mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 14,184 orang, Tumpat (9,524 orang), Kuala Krai (5,645 orang), Kota Baharu (4,271 orang), Machang (3,769 orang), Gua Musang (3,006 orang), dan Pasir Mas (1,764 orang).

Semua pusat pemindahan di Pasir Puteh telahpun ditutup dan kesemua 28 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 138 dari dua daerah terjejas iaitu Segamat (93 orang) dan Batu Pahat (45 orang). - Bernama