• Syed Ali Alhabshee Syed Ali Alhabshee
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyatakan bahawa cadangan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub mengenai penubuhan kerajaan campuran di Kelantan adalah merupakan satu hasrat yang murni.

Oleh itu, beliau hairan dengan sikap segelintir pemimpin Pas yang begitu cepat melenting dengan cadangan tersebut walhal cadangan itu adalah demi kebaikan bersama.

“Pada saya hasrat Hussamuddin itu adalah sesuatu yang murni iaitu mahu melihat kepada penyatuan umat Melayu Islam di Malaysia.

“Sudah tiba masanya kita kembali bersatu demi kebaikan bersama. Apa manfaat yang kita perolehi dari pertelegahan yang berterusan ini? Musibah banjir ini adalah peringatan agar kita semua muhasabah dan bersatu untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Sinar Online.

Kenyataan Syed Ali itu merujuk kepada maklum balas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menolak  cadangan kerajaan campuran di Kelantan.

Sementara itu, tambah Syed Ali, sejarah Islam dan kisah perjuangan Nabi Muhammad perlu dijadikan contoh teladan, bagaimana Baginda berusaha menyatukan Muhajirin dan Ansar. bagi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah umat dan negara.

"Nabi menegaskan hubungan yang baik dan mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang tanpa prejudis,” katanya.

Terdahulu Hussamuddin turut melahirkan perasaan hairannya apabila pemimpin Pas begitu ‘marah’ dengan cadangan tersebut.

“Mesej saya ini bukan disampaikan pada Pas sahaja. Saya hairan kenapa Pas melenting,” katanya.

Menurutnya, kesemua pimpinan Umno dan Pas Kelantan harus menghentikan polemik politik untuk menumpukan perhatian masing-masing terhadap proses pembangunan semula negeri Kelantan.

“Ahli politik jangan melenting dengan kenyataan saya. Saya tuju kepada dua-dua (Pas dan Umno Kelantan), bukan satu parti sahaja.

“Saya bimbang jika mereka tidak mahu bergabung, unsur-unsur perebutan negeri Kelantan itu akan tetap berlaku,” luahnya lagi.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan saranan agar kerajaan antara Pas dan Umno Kelantan bergabung untuk membina semula negeri yang seakan-akan sudah menjadi 'ground zero' setelah dilanda banjir paling dahsyat kali ini.