• Petugas PCOM mengagihkan bantuan makanan kepada salah seorang mangsa banjir di Kelantan. - Foto PCOM Petugas PCOM mengagihkan bantuan makanan kepada salah seorang mangsa banjir di Kelantan. - Foto PCOM
1 / 1
SHAH ALAM – Semangat persaudaraan sesama Islam yang mendalam antara rakyat Palestin dan Malaysia sejak sekian lama telah mendorong Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) untuk turut serta menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negara ini.

Pengerusinya, Islam Imran berkata, atas semangat persaudaraan sesama Islam yang ditunjukkan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin selama ini, mereka juga turut terpanggil untuk membantu apabila negara dilanda banjir besar itu.

"Kerajaan Malaysia, NGO dan rakyat sentiasa bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin memberikan sokongan dengan segala usaha dan keupayaan mereka.

“Dengan kempen Hands4Malaysia yang kami lakukan adalah untuk merakamkan penghargaan kami kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman web NGO itu, semalam.

Jumaat lalu, PCOM mengambil inisiatif menggerakkan kempen tersebut dengan pelbagai bantuan sebagai tanda solidariti mereka untuki bersama mangsa banjir di beberapa negeri di negara ini.

Sebanyak dua pasukan sokongan terdiri daripada 50 rakyat Palestin telah dihantar ke Kelantan di mana pasukan pertama telah bergerak malam semalam manakala satu lagi pasukan bertolak awal pagi hari ini menuju ke Pahang.

Dalam pada itu, Islam berkata lagi, kempen Hands 4 Malaysia itu membawa mesej perpaduan di samping menghantar bantuan kemanusiaan ke kawasan bencana.