• Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin
1 / 1
SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan bukan sahaja perlu bekerjasama erat dalam mengharungi bencana banjir bahkan kesefahaman antara dua parti pemerintah itu perlu wujud untuk mengelakkan isu kebajikan dan bantuan kemanusiaan dipolitikkan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata dalam soal bencana alam, ia menjadi tanggungjawab bersama antara dua parti pemerintah itu dan ia termaktub dalam Perlembagaan negara.

"Mestilah (kerjasama) sebab kerajaan negeri dia ada bidang tertentu, kalau kita lihat senarai Persekutuan, terdapat senarai negeri dan senarai bersama.

"Isu-isu kebajikan ini isu bersama, jangan kerana sekolah itu terletak di bawah kerajaan pusat, kerajaan negeri tidak boleh turun langsung kerana kerajaan negeri di bawah pembangkang.

"Perkara ini berlaku, ada beberapa kes di Kelantan di mana NGO ataupun Kerajaan Negeri tidak boleh masuk langsung ke pusat pemindahan ini," kata Timbalan Dekan Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UIiTM) itu kepada Sinar Online.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub yang menggesa kerajaan campuran di Kelantan diwujudkan untuk memastikan usaha balik pulih negeri itu yang terjejas teruk akibat bencana banjir dapat dilakukan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata lagi tindakan menyekat mana-mana pihak untuk melakukan misi bantuan kemanusiaan itu tidak seharuanya dipolitikkan.

Sebaliknya katanya, kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu melupakan politik seketika dan menjadi koordinator untuk menyelaraskan bantuan daripada orang ramai dan NGO itu ke tempat sewajarnya.

"Jangan timbul isu begitu apabila berlaku bencana atau kecemasan, kena tinggalkan isu politik, kerajaan pusat dan kerajaan negeri kena bekerjasama secara erat berdasarkan tanggungjawab sosial mereka.

"Orang atasan (pemimpin negeri dan pusat) perlu tunjuk contoh yang baik, baru anak buah boleh ikut dengan wujudkan kesefahaman itu," katanya lagi.