• Keadaan sekolah berkenaan kecoh seketika apabila beberapa pelajarnya diserang histeria. Keadaan sekolah berkenaan kecoh seketika apabila beberapa pelajarnya diserang histeria.
1 / 1
RAUB - Sebuah sekolah di sini kecoh seketika apabila beberapa pelajarnya diserang histeria sebaik selesai melakukan latihan kebakaran di padang bola jaring sekolah terbabit, semalam.

Seorang pelajar yang enggan namanya dikenali memberitahu, kejadian dikatakan berlaku sebaik mereka memasuki dewan sekolah untuk acara seterusnya.

“Selepas selesai mengadakan latihan kebakaran, kami diminta oleh cikgu untuk berkumpul di dalam dewan untuk dengar ceramah.

“Sebaik masuk ke dalam dewan, terdengar jeritan seorang pelajar perempuan dan ia berjangkit dengan pelajar-pelajar lain,” katanya.

Tambah pelajar terbabit, dia melihat sekitar tiga hingga empat orang pelajar perempuan melompat dan menjerit sebelum ia berjangkit kepada beberapa pelajar lain.

“Suasana jadi kecoh apabila lebih ramai pelajar yang menjerit dan ada juga yang menangis. Cikgu kemudiannya meminta kami membaca surah Yasin.

“Sebaik membaca surah Yasin, keadaan kembali reda, namun cikgu kemudiannya meminta kami pulang ke rumah sekitar jam 10.30 pagi,” katanya.

Menurut kakitangan sekolah terbabit, dianggarkan lebih kurang 10 pelajar yang terkena histeria terbabit.

“Pagi tadi (semalam) ada latihan kebakaran di padang bola jaring dan semua pelajar sekolah ini kena berkumpul di padang bola jaring.

“Sebaik selesai latihan terbabit, pelajar diminta masuk ke dalam dewan dan ketika itulah segalanya bermula,” katanya.

Seorang penduduk di kawasan terbabit pula memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh anak jirannya berkaitan kejadian terbabit.

“Saya pernah bersekolah di situ, dan khabar berita ini amat mengejutkan saya kerana belum pernah berlaku kejadian seumpama itu sebelum ini.

“Jika selama ini saya hanya mendengar cerita pelajar sekolah lain diserang histeria, tidak sangka pula kali ini ia berlaku di sekolah di kawasan kami ini,” katanya.